Giliran Siti Nurhaliza ‘hiasi’ Times Square New York

Giliran Siti Nurhaliza ‘hiasi’ Times Square New York

PENYANYI tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza muncul menjadi selebriti tanah air keenam yang menghiasi papan iklan di lokasi ikonik Times Square New York, Amerika Syarikat.

Siti menerusi hantaran di Instagramnya bersyukur dengan penghormatan yang diberikan kepadanya untuk mewakili artis tanah air dalam sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify. 

“Bersyukur saya dapat berita hari ini kerana diberi penghormatan apabila wajah saya dipaparkan di papan klan digital tersohor New York Times Square, Amerika Syarikat.

“Penampilan saya mewakili negara Malaysia pada papan iklan in adalah sebahagian daripada kempen EQUAL oleh wadah penstriman digital tersohor dunia, Spotify,” tulisnya dalam hantaran itu.

Ibu kepada Siti Aafiyah Khalid dan Muhammad Afwa itu berkata, EQUAL adalah sebuah program peringkat global oleh Spotify yang ingin memupuk kesamaan wanita dengan memaparkan artis-artis wanita dari seluruh dunia.

“Terdapat 35 senarai lagu atau playlist EQUAL yang meliputi artis dari 50 negara. 

“Saya merupakan salah seorang wakil bagi senarai lagu EQUAL Malaysia dan Singapura,” katanya.

Kemunculan Siti di papan iklan gergasi tersebut menyaksikan beliau mengikuti jejak rakan artis lain yang terlebih dahulu menghiasi lokasi sama iaitu Yuna, Layla Sania, Dolla, Iman Troye dan Aina Abdul. – Malaysiapost

Komen