Kabinet akan bincang hala tuju RUU Sumbangan Politik

Kabinet akan bincang hala tuju RUU Sumbangan Politik

MESYUARAT Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju Hala Tuju Dasar berhubung Penggubalan Rang Undang- Undang (RUU) Sumbangan Politik dibentangkan dalam mesyuarat akan datang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata pihaknya juga bersetuju ia kemudian dibincang dalam mesyuarat Kabinet.

Selain RUU Sumbangan Politik, turut dipersetujui untuk dibentangkan ialah status terkini pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dan Cadangan Pembangunan Pelan Tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance).

Katanya, perkara tersebut dibincangkan dalam pertemuan beliau dengan Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Datuk Seri Mohd Sallehhuddin Hassan.

“Antara perkara lain yang turut dibincangkan adalah status terkini RUU Ombudsman yang dicadang untuk dibentangkan kepada kerajaan pada tahun ini.

“Saya telah menyarankan supaya penelitian diberi kepada aspek dasar penubuhan Ombudsman tersebut bagi memastikan keberkesanan undang-undang berkaitan kelak,” katanya.

Wan Junaidi berkata, beliau turut menyarankan supaya hebahan berhubung usaha membanteras rasuah terus dipertingkat semua agensi bagi membentuk persepsi positif terhadap keseriusan lerajaan
membendung rasuah.

“Ini sekali gus berupaya meningkatkan prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) bagi tahun akan datang,” katanya. – Malaysiapost

Komen