Kerajaan mansuh serta-merta AP import bahan makanan

Kerajaan mansuh serta-merta AP import bahan makanan

KERAJAAN hari ini memansuhkan keperluan lesen import (AP) terhadap bahan makanan, berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan tersebut dibuat dalam mesyuarat Kabinet hari ini sebagai langkah penting dalam menjamin keselamatan makanan di negara.

Beliau berkata, dengan pemansuhan keperluan permit itu, ia bermakna sesiapa sahaja boleh mengimport makanan ke negara ini tidak terhad kepada pihak tertentu sahaja.

“Saya percaya Kementerian Pertanian dan Industri Makanan akan umum secara terperinci tapi kita setuju tadi tiada lagi AP import untuk bahan makanan.

“Kita buka kepada sesiapa sahaja untuk mengimport makanan masuk ke negara kita. Kalau dulu ada bermacam-macam AP, mulai hari ini tidak ada AP lagi diperlukan.

“Sesiapa sahaja boleh mengimport makanan dari luar untuk pastikan kita cukup bahan makanan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri 2022 ‘Semarak Aidilfitri, Keluarga JPM, hari ini.

Sebelum ini, wujud gesaan meminta kerajaan memansuhkan AP atau memberikan peluang kepada lebih banyak syarikat mengimport barangan jika benar-benar mahu menurunkan harganya. – Malaysiapost

Komen