Kes YAWAS: Jamal gesa SPRM, PDRM siasat semula Teresa 

Kes YAWAS: Jamal gesa SPRM, PDRM siasat semula Teresa 

DATUK Seri Jamal Yunos menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat semula Teresa Kok berhubung dakwaan penyelewengan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (YAWAS) pada 2017 dan 2018. 

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar itu mendakwa, beliau percaya ada sesuatu yang tidak kena dengan aduan dibuat olehnya sebelum ini berhubung dakwaan berkenaan. 

Justeru, katanya, susulan kes berkenaan, beliau percaya laporan polis dibuat Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh minggu lalu terhadap dirinya, sebagai usaha untuk mencegah keadilan ditegakkan selepas prosiding kes berkenaan di mahkamah telah berjalan lebih dua tahun. 

“Mengikut sidang media dibuat Teresa minggu lalu walaupun hasil aduan saya kepada pihak SPRM Selangor, pejabat Teresa telah diserbu dan dokumen-dokumen telah dirampas oleh SPRM Selangor. 

“Tetapi kenyataan Teresa melalui media di luar pejabat IPD Sentul minggu lepas setelah diajukan oleh rakan-rakan media, saya mendengar ucapan beliau bahawa dia tidak pernah dipanggil atau disiasat oleh SPRM,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada media selepas diambil keterangan berhubung laporan Teresa di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, Kuala Lumpur hari ini. 

Jamal hari ini hadir bersama peguamnya, Hafiz Norkhan bagi  memberi keterangan kepada polis berkenaan aduan yang dibuat oleh Kok minggu lalu. 

Teresa mendakwa Jamal telah mengongsikan dokumen yang dilindungi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA). 

Sehubungan itu, polis  membuka kertas siasatan berhubung perkara berlenaan mengikut Seksyen 8 OSA. 

Seksyen tersebut berkaitan menyampaikan rahsia rasmi secara salah dan jika disabitkan kesalahan bleh membawa hukuman penjara antara setahun hingga tujuh tahun. – Malaysiapost

Komen