Rosol dijangka kekal pertahan Hulu Terengganu 

Rosol dijangka kekal pertahan Hulu Terengganu 

TIMBALAN Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu negeri, Datuk Rosol Wahid dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu yang disandangnya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). 

Ini kerana nama Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna telah diserah kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk dipertimbangkan. 

Memetik Berita Harian, Pengerusi Badan Pimpinan Bersatu Terengganu, Datuk Razali Idris berkata nama Rosol juga dipersetujui dalam perbincangan awal dengan pimpinan Perikatan Nasional (PN) negeri. 

“Kita di peringkat pimpinan Bersatu negeri juga bersetuju menyenaraikan Rosol bertanding bagi mempertahankan kerusi Parlimen Hulu Terengganu. 

“Rosol antara ahli majlis tertinggi parti yang menunjukkan rekod cemerlang dalam melaksanakan tugas selain berintegriti, bebas jenayah serta diterima rakyat,” katanya. 

Pada PRU14 lalu, Rosol menang kerusi Parlimen Hulu Terengganu atas tiket Barisan Nasional (BN) sebelum menyertai Bersatu pada 14 Disember 2018. 

Isnin lalu, Razali mengumumkan PN negeri bersetuju membenarkan Bersatu bertanding dua kerusi Parlimen dan 10 Dewan Undangan Negeri (DUN) dikuasai BN pada PRU15. – Malaysiapost

Komen