‘Sapura mampu jelaskan hutang jika berjaya dipulihkan’ – Najib

‘Sapura mampu jelaskan hutang jika berjaya dipulihkan’ – Najib

PETROLIAM Nasional Berhad (Petronas) tidak perlu menjelaskan hutang RM10 bilion Sapura Energy Bhd (Sapura) dalam usaha menyelamatkan syarikat berkenaan daripada diisytihar muflis.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Sapura mempunyai ‘track rekod’ dan kemampuan menjelaskan hutang sekiranya syarikat itu berjaya dipulihkan.

“Sekiranya syarikat itu mempunyai modal kerja yang cukup untuk menyampaikan kontrak-kontrak (RM7b dalam tangan ketika ini dengan nilai kontrak RM30b dalam bidaan), Sapura sebenarnya mampu menjana aliran tunai masuk (cash inflow) yang tinggi.

“Pada tahun 2017, Sapura menjana cash inflow sebanyak RM3b dengan aliran keluar sebanyak RM800 juta.

“Tahun 2018 juga, ‘cash inflow’ nya adalah positif. Sapura juga mempunyai aset-aset yang sangat berharga yang jauh melebihi nilai keseluruhan saham syarikat itu di Bursa Malaysia,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, ketika ini nilai Sapura dalam Bursa adalah RM1 bilion tetapi pegangan 50 peratus syarikat tersebut dalam Sapura OMV sudah bernilai lebih RM5 bilion dan ia belum diambil kira aset-aset lain.

“Apa yang Sapura perlu sekarang adalah modal kerja yang mencukupi, keyakinan ‘customer’, pemegang saham, vendor dan bank terhadapnya dipulihkan serta kontrak Petronas yang lebih adil dipulihkan kepada mereka,” katanya.

Justeru, Najib berkata, ketiga-tiga keperluan itu boleh dipenuhi sekiranya Petronas mengambil alih secara sementara dan selepas pulih syarikat itu boleh menjual balik dan mengaut keuntungan amat besar. 

“Ataupun kerajaan memberi jaminan, Sapura mendapat semula kemudahan modal kerja serta pemulihan kontrak Petronas yang lebih adil kepada Sapura.

“Saya bukan kaki bailout (menyelamatkan) dan saya hanya akan sarankan setelah pertimbangankan baik buruk serta peluang ianya dapat dipulihkan.

“Bukan juga semua bail-out akan menyebabkan kerugian kepada kerajaan,” katanya.

Sebelum ini, Najib mencadangkan supaya Petronas mengambil alih Sapura untuk mengelak daripada syarikat perkhidmatan minyak dan gas (O&G) itu diisytihar muflis.

Cadangan itu antara dua syor digariskan bekas Perdana Menteri itu sebagai langkah untuk menyelamatkan Sapura memandangkan Petronas memiliki kepakaran, dengan satu lagi pilihan membabitkan pinjaman bank kepada syarikat itu yang dijamin kerajaan.

Beliau berkata, kedua-dua opsyen atau pilihan digariskannya itu tidak akan membabitkan satu sen pun wang kerajaan.

Najib juga berkata langkah menyelamatkan Sapura itu perlu dilaksanakan segera kerana tanpa sebarang tindakan sehingga 10 Jun ini, syarikat O&G itu mungkin diisytiharkan muflis. – Malaysiapost

Komen