‘Terima kasih PM, Kabinet setuju dengan kanabis untuk perubatan’ – Yassin

‘Terima kasih PM, Kabinet setuju dengan kanabis untuk perubatan’ – Yassin

“ASSALAMUALAIKUM. Selamat hari raya dan maaf zahir batin.Terima kasih Perdana Menteri, Kabinet kerana bersetuju dengan kanabis untuk perubatan,” kata Yasin Sulaiman.  

Bekas penyanyi nasyid dan komposer itu berkata demikian kepada media sebaik tiba di Mahkamah Majistret  Petaling Jaya hari ini untuk dibicarakan atas tuduhan menanam dan mengedar pokok disyaki ganja di kediamannya sebelum ini.

Yasin, 47, yang  juga kelihatan ceria ketika di bawa masuk ke mahkamah juga tidak putus memberikan senyuman kepada orang ramai dan petugas media yang membuat liputan kes berkenaan.

Turut hadir memberi sokongan Ketua Kaukus Parlimen Perubatan Kanabis yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman dan peguamnya, Yusmadi Yusoff.

Pada 31 Mac lalu, Yasin berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan mengedar dadah jenis ganja di kediamannya pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah unit kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3 Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac lalu.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau gantung sampai mati dan sekiranya tidak dihukum mati hendaklah disebat maksimum 15 sebatan, jika sabit kesalahan. – Malaysiapost

Komen