Tersasul ketika temuramah, Baddrol masih teringatkan Kedah 

Tersasul ketika temuramah, Baddrol masih teringatkan Kedah 

KAPTEN Sabah FC, Baddrol Bakhtiar membuktikan dirinya masih antara pemain tempatan terbaik dalam saingan Liga Super musim ini, apabila meledak dua gol untuk skuad Sang Badak malam tadi. 

Malah salah satunya menerusi ‘bicycle kick’ cantik ketika membantu Sabah FC melonjak ke tangga kedua carta liga setelah menewaskan Penang FC di tempat lawan. 

Dalam satu temubual selepas perlawanan itu, Baddrol yang mewakili Kedah FC selama 17 tahun sejak 2005, bagaikan masih terkenang negeri kelahirannya itu. 

Pemain berusia 34 tahun itu tersasul apabila menyebut dia berhasrat membantu Kedah merampas tangga kedua daripada Negeri Sembilan. 

Bagaimanapun Baddrol kemudian tersedar apabila dia kini bersama Sabah FC, bukan lagi skuad Hijau Kuning. 

“Saya ‘target’ malam ini untuk menjaringkan gol dan memastikan Kedah… Sabah mendapat tempat kedua,” katanya. 

Rakaman video temubual itu tular di media sosial.

Kemenangan 4-2 Sabah FC ke atas Penang FC membolehkan Negeri di Bawah Bayu mengumpul 15 mata selepas mengharungi tujuh perlawanan. – Malaysiapost

Komen