Tiada sesiapa tuntut kanak-kanak ditemui seorang diri minggu lalu

Tiada sesiapa tuntut kanak-kanak ditemui seorang diri minggu lalu

SEORANG kanak-kanak lelaki dipercayai berusia tiga hingga empat tahun yang ditemui seorang diri di Gombak seminggu lalu, masih belum dituntut oleh waris atau ahli keluarganya.

Sehubungan itu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak menggesa mana-mana pihak yang mengenali kanak-kanak tersebut atau mempunyai maklumat berkenaan ibu bapa atau saudaranya untuk tampil.

“Setakat ini tiada lagi waris atau ahli keluarga yang datang menuntut kanak-kanak ini.

“Dia kini ditempatkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gombak,” kata jurucakap IPD Gombak seperti dilapor Malaysiakini.

Minggu lalu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Zainal Mohamed dalam kenyataan berkata, kanak-kanak itu ditemui orang awam pada tengah hari, 11 Mei.

Kanak-kanak itu diserah kepada polis yang kemudian membawanya ke Hospital Selayang untuk pemeriksaan sebelum menyerahkannya kepada JKM Gombak.

Menurut polis, kanak-kanak itu berusia antara tiga hingga empat tahun, anggaran tinggi 60cm dan berkulit gelap.

Justeru, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan Rafidah Abdul Aziz di talian 019-3509963 atau bilik gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222. – Malaysiapost

Komen