Ustazah Asma’ tegur ‘Influencer’ berhijab menari K-Pop di media sosial

Ustazah Asma’ tegur ‘Influencer’ berhijab menari K-Pop di media sosial

PENDAKWAH terkenal, Ustazah Asma’ Harun tampil memberi teguran terhadap seorang gadis Malaysia yang tular baru-baru ini berhubung kenyataannya mengenai imej berhijab dan tarian K-pop yang mengundang kritikan banyak pihak.

Teguran itu dibuat Asma, selepas kisah gadis itu dipaparkan media antarabangsa BBC, dengan berpandangan hijab tidak sepatutnya menjadi batu penghalang untuknya mengekspreskan diri sebagai individu yang meminati tarian K-Pop.

Menyentuh mengenai perkara itu, Asma’ berkata, beliau terpanggil untuk menegur gadis yang kini menetap Korea Selatan itu atas dasar kasih sayang sesama Islam.

“Sebagai seorang wanita Islam, cara hidup kita di atas bumi Allah ini bukan semata-mata bersandarkan kepada logik akal atau pendapat peribadi, tetapi setiap perkara ada garis panduannya menurut al-Quran dan hadis Nabi Muhammad SAW.

“Jika kita sebut tentang tarian, pasti ia melibatkan pergerakan tangan, bahu, dada, kaki dan punggung yang berlatar belakangkan apa jua jenis muzik.

“Seharusnya video-video tersebut hanya disimpan untuk tatapan peribadi, tetapi hari ini ia dimuat naik secara terbuka untuk tatapan seluruh warga maya tanpa ada rasa segan dan silu,” katanya menerusi Facebook.

Jelas Asma’ lagi, mungkin individu yang bertindak demikian berbangga mendapat jutaan ‘followers’ dan ‘viewers’ apabila memuat naik video-video tarian.

“Namun, tidak terfikirkah andai satu hari nanti ingin bertaubat, dosa kita insyaAllah boleh terpadam dengan taubat nasuha, namun bagaimana dengan video-video tarian lama yang telah ‘didownload’ oleh orang ramai?

“Bagaimana pula jika tidak sempat bertaubat lalu ajal terlebih dahulu menyapa kita? Dosanya kita tanggung secara berterusan walau sudah berada di alam kubur. Allahuakbar,” katanya.

BACA LAGI: Tiada sesiapa tuntut kanak-kanak ditemui seorang diri minggu lalu

Menurut Asma’, sedar atau tidak, inilah antara bentuk normalisasi ideologi liberal yang perlahan-lahan mula meracuni pemikiran masyarakat Umat Islam.

Katanya, cara berfikir yang tidak mahu terikat dengan agama ini amat berbahaya kerana apa jua tindakan ingin dihalalkan atas dasar pemikiran yang terbuka walaupun ia sangat jauh daripada syariat Islam.

“Islam tidak melarang untuk berfikiran terbuka bahkan menggalakkan kita supaya berfikir dengan akal yang sihat, tetapi jangan sampai menjejaskan akidah atau melanggar batasan agama.

“Benar, Islam juga menggalakkan perkembangan seni di dalam agama itu sendiri selagi mana ia bermanfaat, namun mesti dalam lingkungan syariat.

“Yang tujuannya untuk memelihara kebaikan ummah, bukan sehingga melalaikan dan mendatangkan kesan negatif mahupun fitnah kepada ummat Islam khususnya,” katanya.

Asma’ juga mengingatkan gadis itu bahawa kemasyhuran, pengaruh, bakat dan kecantikan bukanlah satu anugerah apabila digunakan untuk maksiat, sebaliknya ia adalah sebuah musibah.

“Maaf saya lakukan teguran ini secara terbuka, kerana luasnya liputan video temu bual bersama pihak BBC tersebut. Saya bimbang ramai yang sudah menonton terutamanya anak muda lain yang merasakan tiada masalah lalu diambil sebagai pegangan hidup. Nauzubillah.

“Saya bertanggungjawab dengan ruang yang Allah berikan kepada saya untuk melakukan nahi mungkar, iaitu mencegah kemungkaran. Jika saya hanya berbuat kebaikan (amar makruf) namun mengabaikan untuk mencegah kemungkaran, maka saya benar-benar menzalimi diri sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Asma’ turut menasihatkan pensohor media sosial supaya menjadi ‘influencer’ yang mempunyai rasa tanggungjawab kepada masyarakat Islam, serta tidak menyumbang kepada kerosakan yang sedia parah ini.

“Usahalah untuk hentikan apa jua ‘content’ yang menjatuhkan nilai diri sebagai orang Islam lebih-lebih lagi sebagai seorang wanita Muslimah.

“Masih ramai ‘influencer’ dalam bidang hiburan yang membawa imej baik, berkaliber, bermaruah, menjaga batasan, namun tetap mampu bertahan dan berjaya dengan cemerlang. Jadikanlah mereka contoh tauladan,” katanya.

Baru-baru ini, tular kisah gadis kelahiran Subang, Sabrina Azhar dipaparkan oleh BBC menerima teguran netizen Malaysia serta pendakwah.

Dalam video berdurasi pendek itu, Sabrina dilihat memperkenalkan dirinya dan berselang seli dengan klip kehidupan beliau di Korea Selatan serta video pendek tarian k-pop.

Sabrina dalam video tersebut turut menyatakan bahawa dia memahami dunia batas-batas yang telah ditetapkan, namun baginya jika ia melakukan sesuatu perkara yang betul atau tidak melakukan kerosakan ke atas orang lain, jadi ia bukanlah suatu masalah. – Malaysiapost

Kunjungi bahagian Resam Hidup untuk baca cerita yang terkini dan menarik

Komen