Kajian terperinci sebelum wajibkan ABS motosikal 150cc – Ka Siong 

Kajian terperinci sebelum wajibkan ABS motosikal 150cc – Ka Siong 

KERAJAAN akan membuat kajian terperinci dalam masa terdekat bagi mewajibkan pemasangan sistem brek anti-kunci atau anti-lock braking system (ABS) ke atas semua motosikal baharu.  

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, pemasangan sistem itu akan melibatkan semua motosikal baharu berkapasiti enjin 150cc dan ke atas. 

Menurutnya, kajian oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) itu dijangka selesai dalam enam bulan, manakala pelaksanaan mewajibkan pemasangan sistem ABS dijadualkan dalam tempoh dua tahun dari tarikh tamat kajian tersebut. 

“Tempoh sama juga akan digunakan untuk meminda peraturan sedia ada bagi tujuan mewajibkan pemasangan ABS ini. 

“Tapi saya tegaskan ia bukan dibuat secara mendadak atau tergesa-gesa. Tidaklah umum hari ini, esok terus dilaksanakan. 

“Kita beri enam bulan untuk Miros buat kajian, bincang dengan wakil pengguna, pemegang taruh serta pihak industri pembuat motosikal,” katanya 

Beliau berkata demikian selepas  sambutan ulang tahun ke-10 MIROS di Makmal Pelanggaran Miros PC3, Ayer Molek, Melaka, hari ini.  

Ka Siong menjelaskan, pelaksanaan cadangan mewajibkan sistem ABS itu akan dilakukan secara berfasa dan jika berkesan, ia akan diteruskan kepada motosikal berkapasiti enjin rendah daripada 150cc. 

Tambahnya, langkah itu mampu mengurangkan kemalangan dan kematian membabitkan pengguna motosikal sehingga 30 peratus. 

Menurutnya, faktor utama kemalangan motosikal di negara ini adalah terbabas sendiri atau gagal mengelak ketika menunggang, antaranya disebabkan oleh sistem brek yang tidak efektif. 

“Justeru, sistem ABS yang mengguna pakai teknologi anti-gelincir (anti-skid) ini akan membantu untuk menghalang motosikal daripada tergelincir, terbabas dan gagal mengelak ketika menunggang, sekali gus menambah baik tahap keselamatan motosikal di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

Komen