Keluarga warga emas dipukul buat sidang media esok

Keluarga warga emas dipukul buat sidang media esok

LELAKI warga emas yang dipukul seorang penunggang motosikal berhampiran jejantas di Padang Jawa dekat Shah Alam Ahad lalu, akan mengadakan sidang media esok.

Perkembangan itu disahkan anaknya, Muhammad Azzali Zainoldin yang memaklumkan sidang media pada jam 11 pagi itu diadakan di rumah keluarganya di Jalan Bilal Wondo, Kampung Padang Jawa.

Katanya, ahli keluarga terpanggil untuk menceritakan perkara sebenar kepada umum bagi mengelak salah faham masyarakat terhadap bapa mereka, Zainoldin Hussain, 61.

“Sidang media ini diadakan kerana kita tidak mahu masyarakat membuat spekulasi hingga mengundang fitnah dan aib kepada keluarga kami,” katanya memetik Sinar Harian hari ini.

Muhammad Azzali berkata, keluarganya meluahkan rasa kesal dengan kejadian itu lebih-lebih lagi bapa mereka menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Malah menurutnya, bapanya adalah pesakit buah pinggang yang perlu menjalani rawatan hemodialisis.

“Dalam kejadian itu, ayah turut mengalami sakit pada bahagian kepala, mata kiri dan rusuk.

“Kita tidak mahu menyalahkan sesiapa dalam hal ini dan berharap esok kita dapat memberi penjelasan sebenar terutama dalam keadaan emosi ayah terganggu,” katanya. – Malaysiapost

Komen