KL semakin sesak, Najib harap warga kota cuba pengangkutan awam

KL semakin sesak, Najib harap warga kota cuba pengangkutan awam

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berharap warga kota akan lebih mempertimbangkan untuk mencuba pengangkutan awam.

Ia susulan kesesakan trafik di Lembah Klang semakin teruk setelah ekonomi dibuka semula.

“Jika nak ke mana-mana, pertimbangkan untuk menaiki Grab, teksi, bas atau memandu ke stesen terdekat untuk teruskan perjalanan masing-masing dengan pengangkutan awam.

“Di Kuala Lumpur juga, DBKL sediakan bas GoKL percuma untuk penduduk sekitar ibu kota ini,” kata Ahli Parlimen Pekan itu menerusi hantaran di Facebooknya.

Menurut Najib, projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) sudah ditangguhkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu walaupun ia sepatutnya siap pada tahun 2020.

“Kita kerugian empat tahun hanya kerana dendam politik dan kalau boleh tak mahu sambung legasi untuk rakyat ini.

“Manakala projek MRT2 pula akan hanya beroperasi tak lama lagi setelah tertangguh setahun lebih, tapi kita masih banyak lagi pilihan.

“Kita ada KTM Komuter, Rapid Bas, LRT1, LRT2 dan MRT1,” katanya lagi.

Beliau juga berharap majikan melaksanakan waktu kerja anjal selain meneruskan program ‘work from home’ bagi mengurangkan pergerakan di jalan raya. – Malaysiapost

Komen