PERDA peruntuk RM1 juta untuk STEM di sekolah Pulau Pinang

PERDA peruntuk RM1 juta untuk STEM di sekolah Pulau Pinang

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi Lembaga Pembangunan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) memperuntukkan RM1 juta untuk Program Rural Outreach STEM (PROSTEM) bagi sekolah-sekolah di Pulau Pinang. 

Timbalan Menteri II Pembangunan Luar Bandar, Datuk Hasbi Habibollah berkata peruntukan itu bakal memanfaatkan 71 sekolah melibatkan 1,245 pelajar dan 50 guru STEM di bawah kawasan operasi PERDA di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Barat Daya. 

“Program Rural Outreach STEM ini dilaksanakan secara bersepadu melalui kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP).

“Ia sebagai program galakan minat pelajar luar bandar daripada kategori B40 terhadap subjek STEM (Sains, Matematik dan Sains Tulin),” katanya ketika melancarkan PROSTEM di Teluk Kumbar, hari ini.

Menurut Hasbi, penglibatan pelajar di bawah program kecemerlangan akademik PERDA sejak 2017 sehingga 2021 menunjukkan bilangan rendah iaitu kurang 30 peratus bagi aliran STEM di peringkat menengah. 

Beliau menambah, STEM adalah bidang penting dalam mendepani revolusi IR 4.0 yang masih belum menerima sokongan mencukupi daripada agensi kerajaan selain daripada Kementerian Pendidikan. 

“Sebilangan kecil sekolah di kawasan bandar atau luar bandar yang terpilih menerima galakan STEM melalui sumbangan set robotik daripada NGO atau industri. Setakat ini, hanya segelintir sekolah luar bandar menerima bantuan galakan STEM,” katanya lagi. 

Program dilaksanakan menerusi inisiatif PROSTEM itu meliputi insentif set robotik Logo Education, Robotic Workshop, Coding Kidz@PERDATECH, Little Scientist, Mathzania serta Program Training on Trainers untuk guru STEM di Pulau Pinang. – Malaysiapost

Komen