Permintaan tak seimbang, kesesakan faktor tambang e-hailing naik

Permintaan tak seimbang, kesesakan faktor tambang e-hailing naik

DUA faktor utama yang menyumbang kepada lonjakan tambang e-hailing iaitu penawaran dan permintaan yang tidak seimbang serta kesesakan lalu lintas tinggi yang menyebabkan masa perjalanan lebih lama.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata susulan gabungan kedua-dua faktor itu juga telah menjejaskan kualiti perkhidmatan e-hailing.

Beliau berkata, kementeriannya mengambil maklum dan memandang serius berhubung rungutan orang ramai baru-baru ini terhadap kenaikan tambang perkhidmatan pengangkutan awam e-hailing.

“Justeru, bagi menangani isu yang melibatkan kepentingan awam yang bergantung kepada perkhidmatan e-hailing dalam menjalani rutin kehidupan seharian, MOT dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah bertemu dengan pengendali e-hailing (EHO) yang berkenaan, dan dua faktor tersebut adalah hasil perbincangan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, Ka Siong berkata, beberapa syarikat e-hailing juga telah menunjukkan penurunan bilangan pemandu berdaftar sebanyak 30 peratus berbanding sebelum Covid-19 melanda Malaysia.

Tambahnya, kekurangan pemandu e-hailing itu secara tidak langsung menyebabkan masa menunggu kenderaan di beberapa tempat menjadi lebih lama daripada jangkaan.

“Dalam masa sama, fasa peralihan ke endemik mulai 1 April 2022 lalu juga menyebabkan berlakunya peningkatan mendadak dalam permintaan perkhidmatan e-hailing.

“Tempoh yang sama juga menyaksikan pergerakan orang ramai dapat bergerak bebas bagi menjalankan aktiviti ekonomi dan kehidupan seharian seperti biasa sekali gus menyumbang kepada kesesakan lalu lintas berbanding peringkat awal wabak menular.

“Jadi, faktor-faktor ini telah mempengaruhi formula pengiraan tambang yang digunakan oleh EHO merangkumi pelbagai faktor termasuk jarak perjalanan, aliran trafik, keadaan cuaca, serta penawaran dan permintaan pasaran. Ini semua mempengaruhi kenaikan tambang sejak kebelakangan ini,” katanya.

Beliau berkata, dari segi peraturan struktur tambang pula, terdapat dua caj iaitu tambang asas dan surcaj.

“Kerajaan tidak mengawal tambang asas dan surcaj, tidak boleh melebihi dua kali ganda daripada tambang asas, dengan mengambil kira kadar waktu puncak dan harga bahan api.

“Sebaliknya, EHO dibenarkan untuk menetapkan struktur tambang mereka berdasarkan formula sendiri dan syarat perkhidmatan mereka dengan pengguna dalam pasaran terbuka.

“EHO yang berkenaan juga telah memberi jaminan kepada MOT untuk memperuntukkan lebih banyak sumber ke arah meningkatkan bilangan pemandu yang ada pada masa ini,” katanya.

Bagaimanapun, pada masa yang sama, beliau berkata, kerajaan juga akan terus memastikan lebih banyak EHO serta perkhidmatan teksi dan bas tersedia untuk menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna.

“Lebih 130,000 individu memegang lesen vokasional untuk bekerja sebagai pemandu e-hailing.

“Angka ini dijangka bertambah apabila Institut Memandu dan EHO menerima lebih banyak calon untuk menjadi pemandu e-hailing bagi 21 EHO dengan lesen aktif di seluruh negara termasuk Lembah Klang.

“Justeru, kerajaan menggesa semua EHO supaya meningkatkan saluran komunikasi mereka dengan pengguna.

“Dan kami akan terus memantau industri e-hailing untuk memastikan keadilan dan mengelakkan beban yang tidak wajar kepada pengguna,” katanya. – Malaysiapost

Komen