Sanusi tanya TMJ, ‘pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?’

Sanusi tanya TMJ, ‘pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?’

PERANG mulut di media sosial antara Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor semakin ‘panas’.

Sebelum ini Tunku Mahkota Johor (TMJ) melontarkan kritikan terhadap Muhammad Sanusi dengan menyatakan Menteri Besar Kedah itu tiada satu sumbangan pun terhadap bola sepak negara.

“Sampai dua lagenda pasukan sendiri pun angkat kaki tak tahan dengan perangai halusinasi. Pasukan hebat seperti Kedah tak perlukan orang macam ni,” kritik TMJ.

Susulan itu Muhammad Sanusi membalas TMJ dengan menyatakan dua pemain lagenda Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali yang berhijrah ke Sabah dibayar dengan gaji tinggi.

“Gaji mereka berdua boleh digunakan untuk membayar lima pemain baru yang tidak kurang hebatnya.

“Dalam keadaan pasukan yang baru saja berhempas pulas menyelesaikan hutang piutang lama berjumlah lebih RM20 juta, faktor gaji pemain dan pembiayaan pasukan tentulah menjadi perhatian utama pada musim baru.

“Kita tidak boleh berbelanja lebih daripada kemampuan kita, gara-gara ‘setting’ orang kaya di pasukan lain yang mengiurkan semua pemain, sehingga kerajaan terpaksa campur tangan memberi kawasan balak dan kuari untuk membiayai bola sepak,” tulisnya di Facebook.

Muhammad Sanusi menambah, Kedah akhirnya berjaya mengimbangi keperluan membantu rakyat yang rata-rata masih miskin di samping pasukan bola sepak yang membawa nama Kedah di kancah Liga Malaysia.

Menurutnya, Kedah bukan pasukan ‘super kaya’ yang harus tunduk sahaja kepada gaya gaji elit ditentukan pihak lain yang berkemampuan membeli pemain terbaik pasukan lain untuk dikurung dalam sangkar mereka.

“Setting gaji super elit itu menyebabkan banyak pasukan yang bersaing menghadapi masalah kewangan yang turut mengheret kerajaan negeri masing-masing dalam kancah kemelut gaji pemain.

“Boleh lihat apa yang sedang terjadi dengan pasukan seladang, yang berjiran dengan Kedah. Banyak lagi pasukan lain sedang bergelut dengan isu kewangan.

“Hal inilah yang meruntuhkan industri bola sepak tetapi disangkakan satu sumbangan besar. Alangkah peliknya. Sumbangan besar apa kepada siapa?,” katanya.

Tambahnya, Sabah berkemampuan menawarkan pendapatan dan pengalaman yang lebih kepada mereka selain memilih berada di bawah kendalian jurulatih yang mereka gemari.

“Pertemuan jurulatih dengan pemain dan orang lain sebelum perpindahan itu berlaku pun orang Kedah tahu, tapi itu hak mutlak sebagai pemain dan jurulatih yang menjadi lumrah dalam dunia bola sepak.

“Namun mendakwa mereka berdua itu berpindah kerana ‘benci atau marah’ dengan seorang orang Kedah tentulah sukar dibuktikan.

“Kami tahu apa yang terbaik untuk kami, ikut kemampuan kami. Kamu jaga pasukan kamu, kami jaga pasukan kami, kita berentap saja di padang dengan pengadil yang adil dan saksama. Jangan tambah masa sampai 20 minit pulak sudah laaa.

“Satu lagi nak tanya… pendrive lama tu hang pi taroh tang mana?,” sindirnya. – Malaysiapost

Komen