‘Apa sebenarnya masalah orang tua ini?’

‘Apa sebenarnya masalah orang tua ini?’

DATUK Seri Najib Razak berang apabila Lim Kit Siang mengaitkan nama bapanya dalam satu lagi ‘serangan’ terbaharu veteran DAP itu terhadapnya.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Najib menyatakan rasa hairan apabila Kit Siang yang telah mengumumkan persaraan daripada politik, masih berterusan menyerangnya setiap hari.

“Apa sebenarnya masalah orang tua ini? Selepas dia dakwa dia diserang profesor kangkung, dia pula petik nama Allahyarham ayahanda saya untuk serang saya.

“Kata nak bersara tapi tulis nama saya tiap-tiap hari. Tuduh ini dan itu pada saya tiap-tiap hari tapi bila suruh debat, dia berulang kali lari. Suruh dia jawab soalan pun dia kecut,” katanya.

Terdahulu, Kit Siang mendakwa bapa Najib, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein juga tidak akan percaya dengan penjelasan Najib yang dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta sebagai tidak bersalah dalam gejala rasuah.

Membalas dakwaan Kit Siang itu, Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) membangkitkan persoalan kepada Kit Siang untuk membandingkan kes pendakwaan mahkamah dihadapi beliau dan anaknya, Lim Guan Eng.

“Okay, saya tanya sekali lagi. Saya tak pernah didakwa mencuri/merompak/ambil rasuah tetapi bawah akta AMLA sebab saya tak gunakan wang tersebut untuk kegunaan peribadi.

“Sangat berbeza dengan anak kamu yang benar-benar didakwa minta ambil rasuah dan penyelewengan harta bawah kanun keseksaan.

“Jadi, kenapa kamu gelar saya kleptokrat tetapi tak tuduh anakmu seorang kleptokrat?” katanya.

Untuk rekod, Guan Eng didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, KOMTAR di sini, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. – Malaysiapost

Komen