Bermula dengan modal RM5,000, QGB kini syarikat konglomerat

Bermula dengan modal RM5,000, QGB kini syarikat konglomerat

BERMULA dengan modal RM5,000, kini Datuk Dr Muhamad Iqbal mampu tersenyum bangga dengan pencapaian syarikatnya pemegang pelaburan, aktiviti perundingan dan khidmat nasihat korporat.

Menceritakan jatuh bangunnya dalam dunia perniagaan pemilik Qew Group Berhad (QGB) itu berkata dia pernah meminjam “ah-long” dan dipermain rakan kongsi sebelum mencapai tahap sekarang.

Bercita-cita untuk mengembangkan perniagaannya hingga ke peringkat global, QGB mempunyai kepakaran dalam membangunkan sesebuah syarikat dan mampu membentuk hubungan jangka panjang dengan pelanggannya sama ada dalam perkara yang melibatkan pembiayaan, nasihat ataupun sokongan korporat.

“Kalau nak bercakap soal cabaran terlalu banyak yang saya hadapi termasuk dengan meminjam ‘ah-long’.

“Saya bermula dengan modal RM5,000 alhamdulillah berjaya berada pada tahap ini. Yang penting jangan putus asa,” katanya yang kini memilik syarikat korporat bernilai ratusan juta,” katanya kepada pemberita pada pada malam Anugerah Kelantan Business Entrepreneurship Award 2022 (KBEA 2022), di Kota Bharu, malam kelmarin.

“Alhamdulillah, sejak 2017, kami telahpun berjaya mendapat lebih daripada lima anugerah di mana dua daripadanya di peringkat global dan empat lagi di peringkat domestik,” tambahnya lagi.

Majlis berkenaan disempurnakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Mengulas lanjut, Muhamad Iqbal berkata, pada awal penglibatannya beliau pernah membuat kerja sambilan dalam bidang keusahawanan dengan sebuah universiti awam.

Muhammad Iqbal berkata beliau tidak pernah putus asa dan sentiasa berani dalam membuat keputusan meskipun tahu akan risiko yang mungkin dihadapi.

Katanya ada usahawan menjadikan buku sebagai garis panduan tetapi tidak berani untuk turun sendiri merasai pahit manis dan jatuh bangun dalam perniagaan.

“Walau apa pun yang terjadi jangan putus asa…kena kuatkan jati diri serta optimis dan positif dan ingat apa yang kita dapat tu kita kongsi dengan ramai. Kejayaan ini adalah kejayaan bersama, jangan hanya fikir untuk individu (diri sendiri),” katanya.

Muhamad berkata, kini beliau boleh berbangga dengan jenama syarikatnya apabila telah diiktiraf sebagai sebuah konglomerat.

QGB juga telah melancarkan Program Perkongsian Strategik Korporat (CSP) yang bertujuan menambah nilai terhadap mana-mana perniagaan melalui perkongsian dengan menyediakan maklumat, perkhidmatan suntikan modal dan sumber lain yang mungkin terhad kepada sesetengah perniagaan atau hanya boleh diakses melalui pertukaran kewangan.

Pada majlis itu seramai 39 usahawan berjaya diraikan kerana kecekalan mereka bertahan ketika negara berdepan pandemik Covid-19.

Bertemakan ‘ayuh, kami raikan kehebatan anda’ atau ‘Let’s celebrate your excellence’, KBEA membuktikan sektor perniagaan dan keusahawanan anak Kelantan kekal berdaya saing.

Antara yang turut menerima anugerah iaitu pemilik syarikat Uzma Berhad, Datuk Kamarul Redzuan Muhamed; pemilik syarikat Moksumall Sdn Bhd, Norshaznina Ibrahim; Adik Manis Empire, Intan Shamiera Abdul Karim; Bukit Buloh Bricks (M) Sdn Bhd, Nurul Fatihah Fauzi dan pemilik Pink Mop Trade, Eadzelin Azmi. – Malaysiapost

Komen