Doakan saya supaya kes berjalan lancar – Syed Saddiq

Doakan saya supaya kes berjalan lancar – Syed Saddiq

SYED Saddiq Abdul Rahman yang bakal berdepan perbicaraan kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melibatkan empat pertuduhan, mengulangi dakwaan yang beliau dan keluarga diugut serta ditekan.

Perbicaraan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan itu akan bermula 7 Jun ini, melibatkan pecah amanah dan jenayah (CBT), penyalahgunaan dana, serta pengubahan wang haram sebanyak RM1 juta.

“Sepatutnya bicara dalam lima hari, tapi tangguh lagi, dua lagi minggu. Dah dua tahun ‘delay’ nak charge saya, bila dah ‘charge’, ‘trial’ pula delay.

“Selama dua tahun, saya, keluarga, kawan-kawan semua diugut dan ditekan. Diajak lompat (parti) pun, saya tolak. Saya bukan senang untuk dibeli. Saya tetap lawan,” tulisnya menerusi hantaran di Facebooknya.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun berkata beliau percaya dengan institusi kehakiman dan percaya kebenaran akan ditegakkan di Mahkamah nanti.

“Berani kerana benar! Doakan saya supaya kes saya berjalan lancar,” katanya.

Januari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan tarikh perbicaraan adalah antara 7 hingga 10 Jun; 20 hingga 22 Jun; 27 hingga 28 Jun; 4 hingga 8 Julai; 13 hingga 15 Julai; dan 18 hingga 22 Julai.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq, didakwa pecah amanah jenayah semasa menjadi Ketua Armada Bersatu, dengan mengeluarkan wang RM1 juta melalui cek CIMB Bank Bhd pada 6 Mac, 2020.

Beliau didakwa mengeluarkan wang tersebut tanpa kebenaran Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu, dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan, di bawah Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalahguna wang RM120,000 dari hasil derma di bawah akaun bank Armada Bersatu Enterprise untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 antara 4 hingga 18 April, 2018.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, dan sebatan, di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Dua lagi pertuduhan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram, melibatkan dua traksaksi bernilai RM50,000 setiap satu dari akaun bank beliau, yang didakwa dilakukan pada 16 dan 19 Jun, 2018, bagi tujuan aktiviti haram. – Malaysiapost

Komen