Intraday ‘Rompak’ Pavilion

Intraday ‘Rompak’ Pavilion

FILEM Rompak melakar sejarah tersendiri apabila diterbitkan dengan memanfaatkan teknologi baharu NFT (Non-Fungible Token), didokong ribuan ahli komuniti yang menjadi pemegang NFT bagi filem itu.

Filem itu dibintangi Zizan Razak, Tony Eusoff, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Azhar Sulaiman, Ezlyyn, Niezam Zaidi, Siti Khadijah Halim, dan Chubb E.

Ia bakal menjadi karya filem pertama di Asia Tenggara memanfaatkan teknologi NFT.

Filem ini mengangkat tema isu penipuan dan ‘scam’ yang seringkali berlaku dalam kalangan masyarakat negara ini.

Diterbitkan bersama antara portal kewangan Intraday.my dengan syarikat produksi 4ward Pictures, baru-baru ini berlangsung majlis tayangan perdana di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Pada majlis itu juga berlangsung pelancaran iklan digital NFT 3D, runut bunyi lagu filem berkenaan berjudul Tragis dan treler filem.

Pelancaran ini mencipta sejarah apabila disiarkan di papan iklan digital gergasi di pintu masuk pusat beli-belah Pavilion dengan disaksikan ribuan pengunjung.

Sesuai dengan arus teknologi dunia masa kini, permintaan terhadap karya seni dalam bentuk NFT semakin meningkat dan penggunaan teknologi berasaskan ‘blockchain’ atau blok rantaian ini semakin mendapat perhatian ramai termasuk selebriti dan jenama terkemuka di dunia.

Terma Non-Fungible Token atau NFT barangkali ada yang masih kabur mengenainya. Namun ia sudah menjadi satu aliran dan ‘sensasi’ terkini kebelakangan ini.

NFT dalam erti kata mudah seperti salah satu bentuk geran yang memberikan hak cipta terhadap aset secara digital. Ia agak popular dalam bentuk perkongsian gambar.

Tetapi, kini pelbagai pihak melihat kepelbagaian penggunaan teknologi NFT ini. Ia kini luas digunakan untuk lukisan, muzik, animasi, GIF, video, kosmetik dalam permainan video, tiket konsert, keahlian kelab dan macam-macam lagi.

Malaysia sendiri mengorak langkah menjadikan NFT sebagai dagangan utama yang menyaksikan token digital sebegini membolehkan sesiapa saja menjual dan membeli hak milik aset digital.

Produksi filem Rompak terbitan Intraday.my adalah yang pertama memanfaatkan NFT dengan utiliti khas kepada pemiliknya dan bukti pemilikan NFT ini disimpan dalam rantaian blok, menjadikannya “tidak boleh diubah” dan unik sehingga mempunyai nilai tersendiri yang boleh mencecah puluhan ribu ringgit.

Menurut, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Moshed Mohamad berkata sudah tiba masanya NFT diterima dan diguna pakai di negara kita.

“Dalam erti kata mudah, NFT boleh difahami melalui situasi sebegini. Bayangkan ada sebuah karya seni digital mempunyai pesona dan tarikan tersendiri tiba-tiba tular dan menjadi perhatian ramai.

“Tapi kita tahu, karya digital sebegitu mudah saja ‘dicuri’ sesiapa dengan kepesatan teknologi sekarang. Ada saja pihak yang sewenang-wenang ‘merompak’ tanpa memberikan kredit atau maklumat sumber diperolehi.

“Jadi melalui penggunaan NFT itu, karya seni ini boleh dilindungi dan disifatkan sebagai aset yang ada nilai tersendiri,” kata Moshed.

Tambah Moshed lagi, NFT terikat dalam satu kontrak yang berada dalam blok rantaian sampai bila-bila.

Katanya, pengguna atau peminat juga mempunyai hak milik tertentu ke atas karya filem itu bergantung cara pemilikan yang ditentukan pihak penerbitan.

“Umpama orang guna barang ‘rare’ atau barang koleksi edisi terhad. Barang itu tentunya asli dan kita boleh menjejaki siapa pemilik asalnya menerusi NFT. Blok rantaian itu pula dilihat seperti kod di mana orang luar dapat lihat dan tahu ia kepunyaan siapa.

“Seperti projek filem Rompak, kita keluarkan NFT yang dipanggil sebagai pemegang projek. Bererti mereka yang menyokong filem ini, kita boleh kesan mereka,” katanya.

Moshed menambah, NFT membolehkan pelbagai masalah berbangkit seperti isu royalti yang sebelum ini mengundang perdebatan hebat.

Filem Rompak akan ditayangkan di Astro First bermula 16 Jun 2022. – Malaysiapost

Komen