JPJ KL kutip RM450 juta setahun, kenapa tak buka lebih banyak kaunter, pejabat cawangan?

JPJ KL kutip RM450 juta setahun, kenapa tak buka lebih banyak kaunter, pejabat cawangan?

SEORANG Ahli Parlimen Saya menggesa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menambah fasiliti, selain membuka lebih banyak kaunter dan pejabat cawangan sekitar Lembah Klang bagi menampung jumlah pengguna yang semakin meningkat.

Gesaan itu disampaikan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh susulan kesesakan di pejabat cawangan JPJ di Kuala Lumpur dan di beberapa lokasi lain seperti di Selangor yang seakan tiada kesudahan.

Katanya, penambahan fasiliti serta pejabat cawangan boleh dilaksanakan kerana JPJ mempunyai hasil kutipan yang banyak setiap tahun iaitu mencecah hampir RM450 juta setahun di Kuala Lumpur sahaja.

Beliau menegaskan, sehingga hari ini orang ramai masih lagi terpaksa beratur panjang dan mengambil masa berjam-jam untuk pelbagai urusan di pejabat cawangan JPJ biarpun sistem memperbaharui cukai jalan dilaksanakan melalui dalam talian dan penghantaran secara terus kepada pengguna.

“Buat masa ini terdapat empat pejabat cawangan JPJ sahaja di Kuala Lumpur iaitu di Wangsa Maju, Bandar Sri Permaisuri, Bandar Menjalara dan pejabat JPJ Mini UTC Kuala Lumpur di Pudu Sentral, manakala terdapat tujuh pejabat cawangan JPJ di Selangor.

“Jumlah ini semestinya tidak mencukupi untuk memberi khidmat kepada populasi Lembah Klang yang begitu padat.

“Saya sendiri telah melawat cawangan Bandar Menjalara di Segambut dan melihat sendiri barisan menunggu yang terlalu panjang sehingga ke lorong belakang,” katanya.

Sehubungan itu wakil rakyat DAP tersebut meminta Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong menambah baik sistem sokongan bagi memastikan perkhidmatan dalam talian berjalan dengan efektif dan menyeluruh.

Antara lain katanya, seperti memperuntukkan alatan kemudahan terkini yang boleh membantu meningkatkan kecekapan perkhidmatan JPJ kepada orang ramai.

“Sekarang ini, masalah sering mengganggu urusan adalah mesin Percetakan Nasional (PKN) selalu rosak (print Lesen Memandu Malaysia (LMM)/ Lesen Memandu Kompeten (CDL)/ Lesen Memandu Percubaan (PDL) dan “network down” akibat jumlah line internet/bandwidth dikawal MAMPU selalu tidak stabil.

“Ini menyebabkan orang ramai terpaksa beratur panjang berjam-jam bagi menunggu giliran untuk mendapatkan perkhidmatan di kaunter yang berkurangan akibat gangguan tersebut.

“Saya menuntut kesungguhan Menteri Pengangkutan untuk melakukan perubahan ini segera jika beliau benar-benar prihatin masalah pengguna dan pegawai yang bertugas di pejabat cawangan JPJ,” katanya.

Tambahnya, sebagai agensi yang mengutip hasil begitu tinggi setiap hari, tidak wajar rakyat membazir masa dalam barisan menunggu semata-mata untuk memberi hasil kepada kerajaan.

“Pastikan tenaga kerja dan peruntukan pejabat mencukupi disalur kepada Lembah Klang dengan segera terutama di cawangan Menjalara yang terletak dalam kawasan Parlimen Segambut,” katanya. – Malaysiapost

Komen