Ramai keliru, MoU sebenarnya tiada tarikh luput – Annuar Musa

Ramai keliru, MoU sebenarnya tiada tarikh luput – Annuar Musa

RAMAI pihak salah faham mengenai tarikh luput perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perkara itu dijelaskan Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU berkenaan, Tan Sri Annuar Musa yang berkata, tiada tarikh tamat tertentu pada MoU tersebut. 

“MoU tidak tamat. Banyak pihak salah faham mengenai MoU terbabit yang kononnya akan tamat pada penghujung Julai ini.

“Perkara yang mempunyai tarikh itu adalah pilihan raya dipersetujui tidak akan diadakan sebelum akhir Julai ini, manakala MoU antara ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak mempunyai tarikh tamat.

“Ia adalah suatu MoU memberi sokongan ke atas Perdana Menteri sehinggalah Parlimen dibubarkan. Fakta itu harus difahami.

“Apabila Parlimen dibubarkan, terpulang kepada Perdana Menteri serta pimpinan politik untuk menentukan pilihan raya umum (PRU),” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau ditemui media selepas majlis makan malam sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di Kota Kinabalu, malam tadi.

Pada masa sama, Ahli Parlimen Ketereh itu bersetuju supaya PRU tidak diadakan terlalu lewat bagi mengelak pihak yang bersaing dengan Barisan Nasional (BN) mendapat kelebihan.

“Bagaimanapun, pada masa sama PRU juga tidak boleh dibuat terlalu awal jika kita masih belum dalam keadaan siap siaga.

“Perkara ini membuat saya sependapat dengan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Perdana Menteri yang bersetuju PRU perlu disegerakan tetapi tidak perlu dilewatkan sebaik sahaja kita bersedia,” katanya. – Malaysiapost

Komen