Saya masih PM kalau tak kerana Anwar – Tun M

Saya masih PM kalau tak kerana Anwar – Tun M

TUN Dr Mahathir Mohamad menyalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa menyebabkan beliau gagal menjadi Perdana Menteri setelah berlakunya ‘Langkah Sheraton’ pada awal 2020.

Pengerusi Parti Pejuang itu menjelaskan, beliau masih lagi Perdana Menteri jika bukan kerana tindakan yang dilakukan oleh Presiden PKR ketika itu.

Katanya, selepas meletak jawatan Perdana Menteri pada 24 Februari 2020, Yang di-Pertuan Agong perlu melantik Perdana Menteri baharu yang mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Kalau tak sabit dia (Anwar), saya hari ini jadi Perdana Menteri. Pasal bila saya letak jawatan, Agong mahu setiap 222 Ahli Parlimen tulis siapa yang mereka pilih. Saya fikir PH (Pakatan Harapan) akan letak nama sayalah, pasal saya daripada PH.

“Tetapi Anwar kata dia ada banyak sokongan, tapi dia orang (PH) bagi kepada Anwar 92 undi, saya dapat 62, bukan daripada PH, daripada parti lain, orang lain saya tak tahu siapa.

“Kalau saya dapat 62, kalau saya juga dapat 92 daripada PH, saya dapat 154, saya jadi Perdana Menterilah. Tapi dia bagi saya kalah, dia pun kalah,” katanya dalam wawancara bersama Utusan Malaysia.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Perdana Menteri kelapan pada 29 Februari 2020 selepas mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menegaskan, beliau menerima gagasan “khemah besar” yang menyatukan semua parti pembangkang menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang kerana ia satu-satunya cara untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, katanya, hanya orang jujur saja patut menjadi sebahagian daripada “khemah besar”.

Menurutnya, Anwar dan Muhyiddin sebagai ‘tidak lurus’ dan tidak mahu melihat kedua-dua mereka berada dalam ‘khemah besar’ pembangkang.

“Tetapi kita kena cari orang yang lurus, tidak boleh kalau ada orang masuk politik nak cari duit apa semua,” katanya. – Malaysiapost

Komen