Tiada ubat-ubatan alami kekurangan bekalan secara menyeluruh – KKM

Tiada ubat-ubatan alami kekurangan bekalan secara menyeluruh – KKM

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) mengesahkan tiada ubat-ubatan di pasaran Malaysia mengalami kekurangan bekalan secara menyeluruh seperti dilaporkan media massa dan laman sosial.

Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim berkata kebanyakan produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi sama.

Pada masa sama, katanya, pihak pengilang telah meningkatkan kapasiti pengeluaran bagi memenuhi pemintaan yang tinggi.

“KKM sedang mendapatkan maklumbalas lanjut daripada pihak industri berhubung status sebenar bekalan ubat ubatan yang dihasilkan di Malaysia atau diimport serta isu isu yang berkaitan dengannya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norhaliza berkata, KKM melalui Program Perkhidmatan Farmasi telah mengadakan perjumpaan dengan pihak industri farmaseutikal semalam.

Ia melibatkan Malaysian Organisation of Pharmaceutical Industries (MOPI), Pharmaceutical Association of Malaysia (PhAMA) dan Malaysia Association of Pharmaceutical Suppliers (MAPS).

Menurutnya, maklum balas diterima menunjukkan terdapat peningkatan permintaan yang mendadak bagi beberapa jenis ubat ubatan seperti produk dengan bahan aktif paracetamol (bagi rawatan demam dan sakit yang ringan), vitamin C serta ubat batuk dan selsema untuk kegunaan kanak kanak.

“Pemantauan ketat dan penyelesaian terhadap setiap isu akan diteliti melalui komunikasi berterusan antara KKM dan pihak industri farmaseutikal bagi memastikan kesinambungan bekalan ubat ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan kekurangan bekalan dikatakan melibatkan ubat ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD). – Malaysiapost

Komen