Umno tidaklah berubah 100 peratus, tetapi…

Umno tidaklah berubah 100 peratus, tetapi…

Dr Akmal Saleh

RAMAI yang bertanya pada saya, selepas kalah Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), adakah Umno benar-benar berubah?

Jawapan saya Umno tidaklah berubah secara 100 peratus tetapi perubahan yang berlaku hari ni dalam Umno adalah perubahan yang paling dinanti oleh kebanyakkan ahli-ahli di bawah dan rakyat Malaysia khususnya.

Buktinya adalah cukup untuk saya berikan contoh diri saya sahaja sebagai bukti bahawa perubahan dalam Umno itu berlaku.

Sebelum ini kita selalu dengar mengenai ramai orang muda sukar mendapat tempat di dalam Umno, bukan setakat mendapat tempat menjadi calon, tetapi nak dapat tempat di peringkat cawangan juga menjadi satu masalah.

Saya bukanlah berasal dari keluarga ahli politik, malah tidak ada seorang pun dari keluarga saya pernah menjadi wakil rakyat dan memegang jawatan tinggi dalam Umno, ayah saya hanyalah ahli biasa Umno peringkat cawangan sahaja.

Dengan umur yang baru mencecah 34 tahun pada tahun ini, dan tidak mempunyai langsung latar belakang keluarga dalam bidang politik sudah tentu ia adalah sekadar mimpi untuk diangkat menjadi calon mewakili Umno dan Barisan Nasional jika sebelum ini.

Tetapi sebaliknya berlaku pada hari ini, impian semua ahli untuk melihat Umno berani melakukan perubahan itu akhirnya terjadi.

Ada sesetengah parti atau pemimpin hanya memberikan peluang kepada individu tertentu sahaja dan jumlahnya amatlah terhad, tetapi Umno hari ini telah memberi peluang bukan pada saya seorang sahaja tetapi ramai lagi rakan-rakan yang sama seperti saya diberi peluang oleh Umno untuk diangkat menjadi pemimpin, contohnya kita boleh lihat di PRN Melaka dan Johor.

Ya saya mengaku Umno ini tidaklah sempurna tetapi apa yang lebih penting kini Umno benar-benar “walk the talk” dan bukanlah hanya beretorik sahaja.

Perubahan itu bukannya mudah untuk dilakukan, kerana ia memerlukan keberanian yang hakiki dan kepada semua pemimpin tertinggi Umno, terima kasih atas keberanian yang telah diberikan.

Walaupun ramai ‘warlord’ yang tidak selesa dengan  perubahan yang berlaku dalam Umno ini, dan diasak bertubi-tubi tetapi anda semua tetap istiqomah demi kebaikan parti kita semua.

Kita memang tidak sempurna tetapi yang paling penting kita berubah ke arah kesempurnaan..

InsyaAllah tanggungjawab yang diberikan ini akan kami laksanakan sebaik mungkin dengan seluruh jiwa raga kami. – Malaysiapost
.
Penulis ialah Adun Merlimau merangkap Exco Kesihatan dan Anti Dadah Melaka
(Tulis ini dipetik sepenuhnya dari Facebook penulis)

Komen