Yukamoku enggan pulang ke Jepun, mahu menetap di Malaysia

Yukamoku enggan pulang ke Jepun, mahu menetap di Malaysia

Tun Puteh Wanti

HUJAN EMAS di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, namun lebih baiklah di negeri sendiri. 

Namun berlainan pula dengan gadis Jepun bernama Yukamoku ini kerana dia bagaikan telah jatuh cinta dengan Malaysia dan bercadang mahu terus menetap di negara ini. 

Bukan kerana dia telah melupakan negaranya, Jepun, tetapi bagi Yukamoku, 22, keunikan Malaysia yang memiliki pelbagai adat dan budaya telah menambat hatinya untuk kekal lama di negara ini. 

Peserta program Japan International Cooperation Agency (JICA) mengakui dia telah jatuh cinta dengan warisan, budaya, makanan, tempat menarik di Malaysia.

“Saya suka sangat Malaysia, rakyatnya sangat ramah, pelbagai makanan sedap dan tempat sangat cantik.

“Saya suka bandaraya bersejarah Melaka, walaupun orangnya cakap kuat-kuat tetapi mereka baik, Melayu, India dan Cina hidup harmoni di sini.

“Saya suka makan satey, nasi lemak dam roti canai, cuma kena hati-hati kerana minuman manis boleh ‘potong kaki’,” katanya yang fasih berbahasa Melayu ketika di temui di Festival Malaysia – Jepun 2022 di Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC), Kuala Lumpur, hari ini.

Yukamoku yang mengikut program JICA selama setahun di Malaysia berkata, beliau sudah mula mengajak rakan dan keluarga untuk bersamanya di Malaysia.

“Ketika ini saya mengajar di Universiti Teknikal Melaka dan dibawah program ini dijangka tamat awal tahun depan,” katanya. 

Festival ini diadakan selama empat hari bermula 2 Jun, diadakan sempena Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP40). 

Festival ini adalah inisiatif awal untuk promosi pelancongan Malaysia – Jepun yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung seperti Bengkel Cosplay, pameran kraftangan, promosi produk pelancongan dan promosi pendidikan TVET, demonstrasi kraftangan, tulisan khat dan mencanting batik. -Malaysiapost

1 Comment

  • Viola

    😊Tak pernah jumpa orang jepun yang datang Malaysia konon suka n hormat budaya tapi perangai sebijik macam ‘mat salleh dtg menetap kat negara asia tapi tak mkn nasi’ pastu kata nak duk Malaysia tanak balik Jepun.
    Melawak ke?🤭
    Btw the age is wrong she’s 27

Komen