Suami maut, isteri patah tangan motosikal berkuasa besar langgar lori

SEORANG lelaki maut manakala isteri patah tangan selepas motosikal berkuasa besar yang dinaiki mereka hilang kawalan dan melanggar bahagian tepi sebuah lori di Kilometer 16 Jalan Gula berhampiran pintu masuk Kampung Lian Seng, Bagan Serai, Perak, hari ini.

Dalam kejadian 10.30 pagi itu, S Muraly, 55, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan, manakala M Lechmy, 53, dihantar ke Hospital Taiping untuk rawatan susulan.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika motosikal berkenaan datang dari arah Teluk Intan menghala ke Kuala Gula.

“Apabila sampai di tempat kejadian mangsa dipercayai telah gagal mengawal motosikal lalu melanggar bahagian tepi sebelah kanan lori.

“Ketika kejadian lori berada di hadapannya sedang membelok ke simpang di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Mazuki berkata, pemandu lori berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Katanya, kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.- Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights