WALAUPUN telah berusia 65 tahun, seorang duda masih bernafsu untuk melakukan dosa apabila ditangkap berkhalwat bersama isteri orang di sebuah hotel bajet di Kota Bharu, Kelantan, malam tadi.
Anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah (BPUS) Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (Jaheaik) telah menahan duda dan pasangannya yang berusia 56 tahun pada pukul 11.30 malam tadi.
Ketua Penolong Pengarah BPUS Jaheaik, Mohd. Fadzuli Mohd. Zain berkata, pasangan berkenaan datang dari Selangor dengan menaiki bas ke bandar ini sebelum ditahan ketika berdua-duaan dalam bilik di hotel terbabit.
“Lelaki warga emas itu memberi alasan mahu membeli emas di Kelantan, manakala pasangannya mendakwa mahu menghadiri kelas senam aerobik di Terengganu.
“Kami menahan mereka untuk siasatan lanjut dan dilepaskan dengan bon jamin sebelum diminta hadir ke Mahkamah Syariah mengikut tarikh yang ditetapkan,” katanya memetik Harian Metro, hari ini.
Sementara itu, dalam operasi yang sama, Mohd Fadzuli berkata, Jaheaik turut menangkap pasangan kekasih berusia 20 an di sebuah hotel bajet di Kota Bharu.
“Dua pasangan ini akan disiasat mengikut Seksyen 50, Undang-undang Islam, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019.
“Kami turut memberi notis kepada tiga pasangan kekasih kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tepi Sungai Kelantan di Lembah Sireh, kira-kira 5 petang semalam,’ katanya.
Menurutnya, pasangan yang diberi notis diminta hadir mendapatkan perkhidmatan kaunseling dalam tempoh dua minggu, jika gagal hadir mereka boleh didenda. – Malaysiapost
Kredit foto: Harian Metro