KEPUTUSAN peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan diumumkan pada 16 Jun ini dan boleh disemak melalui beberapa kaedah.
Menteri Pendidikan Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata keputusan itu boleh disemak dengan hadir ke sekolah masing-masing, melalui pos dan semakan secara dalam talian.
“Ramai calon sekolah SPM 2021 bertanya tentang bilakah keputusan SPM 2021 akan dikeluarkan.
“Untuk makluman semua keputusan akan dikeluarkan pada 16 Jun ini,” katanya dalam satu rakaman video yang dikongsikan di laman Facebooknya, hari ini.
Beliau berkata, bagi calon-calon sekolah boleh mendapatkan keputusan mereka daripada sekolah masing-masing mulai jam 10 pagi 16 Jun ini.
“Kedua secara atas talian melalui pautan yang akan diberikan juga mulai jam 10 pagi. Ketiga melalui sistem pesanan ringkas (SMS) pada hari tersebut mulai jam 10 pagi.
“Tiga pendekatan yang boleh digunakan untuk mendapatkan keputusan SPM anak-anak,” katanya.
Menurutnya, apa yang paling penting apa sahaja keputusannya kelak perlu diterima dengan hati yang terbuka serta perlu terus gerak ke hadapan untuk lakukan yang terbaik.
Calon SPM 2021 boleh menyemak keputusan secara dalam talian di pautan myresultspm.moe.gov.my, manakala secara SMS, calon perlu menaip SPM no kad pengenalan, angka giliran dan hantar ke 15888.
Sistem ini akan diaktifkan mulai jam 10 pagi pada 16 Jun sehingga jam 6 petang, 22 Jun 2022.
Pada 1 Mac lalu seramai 407,097 calon ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 menduduki peperiksaan itu berbanding kebiasaan yang diadakan pada akhir tahun persekolahan susulan negara dilanda pandemik Covid-19. – Malaysiapost