KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) amat menitikberatkan usaha memperkukuhkan keselamatan makanan negara termasuk mencegah kejadian keracunan makanan dengan melaksanakan pelbagai strategi dan intervensi.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata bersempena Hari Keselamatan Makanan Sedunia 2022 yang disambut hari ini, KKM melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) menjalinkan kolaborasi bersama syarikat penghantaran makanan (p-hailing) bagi meningkatkan kesedaran keselamatan makanan khususnya pembelian makanan secara dalam talian.
Beliau berkata, kolaborasi itu juga diharap dapat menyampaikan mesej kepada pengguna mengenai kepentingan untuk memilih premis dan produk makanan yang bersih dan selamat.
“KKM turut memastikan aktiviti pemantauan sentiasa dijalankan ke atas premis dan produk makanan yang dijual di pasaran. Pada 2021 sebanyak 45,361 premis makanan seluruh negara telah diperiksa dimana sejumlah 44,664 (98.5 peratus) premis makanan adalah bersih.
“Manakala sebanyak 697 (1.5 peratus) premis makanan yang diperiksa termasuk restoran dan kedai makan telah ditutup mengikut Seksyen 11, Akta Makanan 1983. Selain itu sebanyak 9,034 notis dikeluarkan kepada pemilik premis makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009,” katanya dalam satu kenyataan sempena sambutan Hari Keselamatan Makanan Sedunia Peringkat Kebangsaan 2022, hari ini.
Khairy berkata, bermula 1 April tahun lalu turut memperkenalkan satu program khusus iaitu Penyenaraian Pengusaha Makanan Sediaan di Rumah untuk membantu pengusaha makanan di rumah dalam pematuhan kepada keperluan perundangan seperti vaksinasi anti-tifoid dan latiha pengendali makanan.
“KKM akan terus memperkukuhkan kawalan keselamatan makanan negara bagi memastikan rakyat Malaysia terus menikmati makanan yang selamat,” katanya. – Malaysiapost