Malaysia perlu gerakkan tindakan diplomatik terhadap India – Pejuang Muda

Malaysia perlu gerakkan tindakan diplomatik terhadap India – Pejuang Muda

PEJUANG Muda Malaysia menggesa Wisma Putra dan kerajaan menggerakkan tindakan diplomatik terhadap India, susulan kenyataan dua pemimpin, Parti Bharatiya Janata (BJP) yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Ketuanya, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin berkata, tindakan itu patut dilakukan sebagai tanda kutukan keras dari Malaysia bagi mempertahankan kesucian kedudukan Baginda.

“Ketiadaan sebarang respon rasmi dan segera dari kerajaan Malaysia setelah beberapa hari isu ini meletus di peringkat antarabangsa adalah sangat mendukacitakan dan memalukan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, Pejuang Muda mengecam sekeras-kerasnya kenyataan penghinaan dibuat pemimpin BJP, Nupur Sharma dan Naveen Kumar Jindal.

“Tindakan mereka yang mewakili BJP adalah perkara yang boleh dijangka dan bukanlah baru.

“BJP yang menguasai parti pemerintah India dan dipimpin Perdana Menteri, Narendra Modi terkenal dengan beberapa polisi dan kenyataan berterusan yang dilihat sangat anti-Islam di peringkat Pusat dan Negeri.

“Selain itu, negeri-negeri dikuasai BJP seperti di Karnataka yang diketuai Ketua Menteri, Basavaraj Bommai telah bertindak mengharamkan pemakaian tudung kepada pelajar Muslimah di kampus dan bangunan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tindakan terhadap kedua-dua individu terbabit dalam penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW telah diambil, ia masih belum memuaskan hati banyak negara Islam kerana dianggap tidak bersifat punitif dan mencukupi.

“Qatar, Kuwait, Iran dan beberapa negara lain telah menerbitkan Nota Bantahan Diplomasi dan memanggil Duta India untuk mendapatkan penjelasan terhadap hal tersebut,” katanya – Malaysiapost

Komen