DATUK Seri Najib Razak memfailkan permohonan untuk mengemukakan bahan bukti baru di Mahkamah Persekutuan sekali gus membatalkan perbicaraan kes SRC International Berhad di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, ia setelah mereka mendapati hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mendengar perbicaraan SRC International di Mahkamah Tinggi, mempunyai beberapa konflik kepentingan berkaitan perkara itu.
“Bukti baru yang ingin dikemukakan berkenaan penemuan terbaru bahawa hakim kes SRC, Nazlan, pada 2006 merupakan ketua penasihat undang-undang kumpulan dan setiausaha syarikat untuk Kumpulan Maybank, yang memiliki tanggungjawab terhadap pengurusan dan pentadbiran semua jabatan perundangan seluruh kumpulan itu,” katanya dalam sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.
Shafee berkata, perkara itu relevan kerana pihaknya baru-baru ini mendapati Maybank Investment Bank Bhd adalah badan yang mencadangkan penubuhan SRC International.
Menurutnya, Maybank Investment juga pemilik penuh Bina Fikir Sdn Bhd, yang dipertanggungjawab dalam soal penyelidikan dan nasihat berkaitan penubuhan SRC International.
Pada 28 Julai 2020, Mohd Nazlan mensabitkan dan mengenakan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta selepas mahkamah mendapati Najib bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).
Pada 8 Disember tahun lalu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil bersama-sama Hakim Datuk Has Zanah Mehat dan Hakim Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Ahli Parlimen Pekan itu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Najib sedang mengemukakan rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan. -Malaysiapost