Pak Wan terima kunci rumah baharu

Pak Wan terima kunci rumah baharu

DATUK Seri Shahidan Kassim telah menyerahkan kunci rumah kepada Mohd Redzuan Abdullah seperti yang dijanjikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini. 

Mohd Redzuan atau lebih mesra disapa Pak Wan telah ditemui Menteri Wilayah Persekutuan itu di ‘kediamannya’ di belakang kedai serbaneka dekat Taman Sungai Besi, petang tadi.

Shahidan berkata, di atas keprihatinan Perdana Menteri, beliau telah meminta untuk Pak Wan berpindah dan DBKL telah mendapatkan tempat di Perumahan Awam (PA) Seri Johor tanpa perlu membayar sewa bulanan selama setahun.

“Disini (Seri Johor) sewanya adalah RM96 sebulan dan kita akan beri percuma selama setahun kepada Pak Wan dan beliau tidak perlu bayar sewa.

“Saya lihat ada ramai dermawan yang meminta selepas setahun itu untuk mereka ambil alih bagi terus membantu Pak Wan,” katanya dipetik Wilayahku, hari ini. 

Kisah Pak Wan, 60, yang merupakan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjadi tular di media sosial kerana menjadikan sebuah kereta Volvo lama sebagai kediaman dia berteduh daripada hujan dan panas sejak 20 tahun dahulu. 

Shahidan berkata, dengan bantuan tersebut, sudah pasti veteran ATM itu akan menjalani kehidupan serta memudahkan beliau untuk beribadat dengan lebih baik.

“Untuk peralatan dan kelengkapan rumah, ini semua akan diuruskan dengan sebaiknya. Bagi saya, semua itu tidak perlu disebutkan sebab Insyaa Allah akan ada kawan-kawan dan dermawan yang akan membantu dan kita mesti anggap ini sebagai amal jariah mereka,” katanya.

Sementara itu, Pakwan mengucapkan rasa syukur dan terima kasih kepada Perdana Menteri dan juga Shahidan kerana membantunya untuk menjalani kehidupan yang lebih selesa. 

“Syukur Alhamdulillah.. terima kasih Datuk Seri (Shahidan) kerana datang jenguk Pak Wan. 

“Bagi saya, Perdana Menteri dan Menteri Wilayah Persekutuan bukan bercakap kosong. Mereka prihatin dan di atas sebab itu saya akan diberi sebuah rumah yang cukup selesa, bukan setakat rumah kosong, ia juga lengkap dengan peralatan seperti peti sejuk untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selesa.

“Oleh itu, saya ucap terima kasih Datuk Seri Ismail Sabri dan Datuk Seri Shahidan kerana membantu saya,” katanya. 

Selain kunci rumah, Pak Wan juga menerima surat tawaran menduduki rumah milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diserahkan Shahidan.

Hadir sama Ahli Lembaga Penasihat DBKL, Datuk Seri Zainal Rafique dan Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ismadi Sakirin. -Malaysiapost

Komen