Pemilihan PKR: Afdlin Shauki buat laporan polis

Pemilihan PKR: Afdlin Shauki buat laporan polis

PELAKON, penerbit dan pengarah, Datuk Afdlin Shauki membuat laporan polis terhadap Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kerana gagal mengurus perjalanan pengundian dengan baik apabila mendakwa wujudnya banyak penipuan.

Beliau berkata, laporan polis dibuat terhadap JPP kerana gagal bertindak apabila aduan kelemahan diajukan sepanjang pemilihan berlangsung.

“Kami buat laporan polis terhadap JPP, banyak benda mereka lakukan menimbulkan syak wasangka dan benda-benda mereka lakukan terang-terang salah

“Kami sudah buat laporan kepada JPP sebelum ini tapi tidak ada maklum balas, yang ada senyap dan sunyi, oleh itu kami buat laporan polis untuk lakukan siasatan,” katanya seperti dilapor FMT.

Afdlin turut mendakwa terdapat kertas undi yang hilang apabila jumlah undi yang diumum JPP dengan jumlah undi di tempat mengundi bahagian Setiawangsa berbeza dengan ketara.

“Jumlah undi diumum di tempat mengundi adalah 750 undi namun demikian setelah pengundian fizikal tamat jumlah undi rasmi yang dikemaskini dalam sistem JPP adalah 528 undi, berlaku perbezaan sangat ketara dengan 222 undi hilang begitu sahaja,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendakwa pengiraan kertas undi juga dibuat tanpa wakil calon dan bagaimana proses pengiraan dibuat tidak didedahkan.

“JPP juga didakwa turut melakukan kesalahan apabila melantik bekas setiausaha bahagian Setiawangsa sebagai penyelaras tempat mengundi dan suami kepada salah seorang calon wanita bahagian untuk bertugas di dewan tempat mengundi semasa hari pemilihan.

“Lantikan ini dilihat berat sebelah kerana kedua-dua mereka ini mempunyai hubungan secara langsung dengan calon bertanding dan tiada jaminan ketelusan dan integriti memandangkan mereka juga ahli parti dan bukan pihak berkecuali dan berkepentingan,” katanya.

Dalam pemilihan lalu, Afdlin tewas kepada penyandang yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam saingan merebut jawatan ketua bahagian PKR Setiawangsa.

Kemenangan menyebelahi Nik Nazmi selepas memperoleh 482 undi, sementara Afdlin sekadar berpuas hati dengan 372 undi. – Malaysiapost

Komen