KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, akan membincangkan mengenai isu-isu dibanggkitkan berhubung guru-guru kontrak dengan pihak Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
Menurutnya, perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuannya dengan pihak NUTP dan MTUC hari ini.
“Ada lebih 50 mesej saya terima daripada guru-guru kontrak yang hubungi saya dan Pemuda Umno untuk bangkitkan masalah mereka.
“Insya-Allah tengah hari ini pihak NUTP dan MTUC akan datang ke pejabat saya, untuk kami berbincang mengenainya,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook.
Isu berhubung guru kontrak sebelum ini turut dibangkitkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ahli Parlimen Muar itu menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) memberi jawapan yang telus dan jelas berhubung isu dibangkitkan kumpulan guru kontrak perkhidmatan (COS).
Menurutnya, terdapat calon-calon guru COS 2021 yang mengadu berlaku ketirisan dan ketidaktelusan dalam proses temuduga Pengambilan Khas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP DG41) yang keputusannya telah diumumkan pada 28 Mei lalu.
Sementara itu, Asyraf Wajdi turut meminta pandangan tambahan daripada orang ramai berhubung perkara berkenaan.
Seorang pengguna Facebook dengan akaun Hisham Shaari, memberi pandangan agar penstrukturan semula jawatan guru di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) perlu dikaji semula.
“Contoh: DG52 yg berada di JPN dan PPD akan balik ke sekolah dengan jawatan guru biasa. Sedangkan pengalaman mereka sebagai pentadbir amat berharga sekali. Mohon dibangkitkan Dr,” tulisnya di ruangan komen.
Menjawab komen berkenaan, Asyraf Wajdi berkata, ia antara perkara yang akan bincangkan dengan NUTP nanti.
Selain isu guru, terdapat juga yang mengemukakan pandangan berhubung kebajikan jururawat kontrak yang dilihat turut tidak dapat pembelaan sewajarnya.
“Kena tengok juga jawatan jururawat Dr. Untuk kenaikan pangkat perlu melalui proses pengisian jawatan seperti baru minta kerja.
“Sepatutnya sudah dalam perkhidmatan, kenaikan pangkat hanya perlu melalui skt atau penilaian di peringkat jabatan sahaja. Mana keadilan kepada para jururawat.
“Seperkara lagi soal pertukaran negeri. Sepatutnya dimaklumkan terus penempatan pertukaran di mana untuk memudahkan urusan kediaman, pertukaran sekolah anak dan lain-lain. Apa yang berlaku sebelum kena lapor diri dulu baru tahu di mana penempatan,” kata Ania Izzat.
Berhubung perkara itu, Asyraf Wajdi berkata perkara itu akan dibangkitkan juga kerana kebetulan MTUC hadir bersama wakil Persatuan Jururawat hari ini. – Malaysiapost