SEBUAH bot jongkong asing ditahan sebelum diusir keluar dari perairan Pulau Sebatik, Tawau, semalam selepas pemeriksaan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau mendapati juragan dan anak perahu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat, berkata pemeriksaan mendapati bot jongkong itu dikendalikan lelaki bukan warganegara berusia 40 tahun bersama empat anak perahu terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita berusia antara 20 tahun hingga 31 tahun.
“Hasil pemeriksaan mendapati, juragan dan kesemua anak perahu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan telah memasuki perairan Malaysia.
“Juragan Jongkong dan kesemua anak perahu telah diberi penerangan berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 sepertimana yang ditetapkan dalam Perintah Akta Pencegahan Dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998.
“Jongkong tersebut telah diiring keluar dari perairan negara dan Juragan diarahkan serta diberi amaran supaya tidak kembali semula ke perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, PPM menggalakkan masyarakat persisir pantai dan maritim khususnya untuk menyalurkan sebarang maklumat dalam mengekang jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan.
“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi whatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di nombor 013-9391197 atau berhubung terus ke Bilik Gerakan PPM Tawau di talian 089-983628.
“Ini bagi memastikan kesalahan-kesalahan yang melanggar undang-undang negara dapat dibendung seterusnya mengekalkan keamanan dan keselamatan,” katanya. – Malaysiapost