Provokasi murahan BJP terhadap umat Islam perlu dikecam – Pas
PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan melampau menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik kanan parti pemerintah India, Bharatiya Janata Party (BJP) dalam satu rancangan televisyen yang disiarkan di India.
Ketua Pemuda Pas Ahmad Fadhli Shaari, berkata tindakan dilakukan tokoh BJP bernama Nupur Sharma dan Navin Kumar Jindal itu wajar dikecam oleh seluruh umat Islam rentas negara, kaum dan ideologi politik.
Menurutnya, perbuatan dilakukan itu adalah manifestasi dasar ektrimis dan politik kebencian yang disemai sekian lama oleh BJP terhadap umat Islam.
“Pemuda Pas ingin menyatakan solidariti kami buat umat Islam di India yang semakin hari semakin dihimpit cabaran dan tekanan oleh puak pelampau hindutva.
“Kami ingin menegaskan bahawasanya Islam adalah agama dan satu cara hidup yang mengutamakan nilai perdamaian serta amat menekankan kepada umatnya akan nilai hidup kebersamaan dalam masyarakat pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Pemuda PAS menyeru seluruh umat Islam di dunia agar terus istiqamah dalam membela nasib saudara seagama yang kian ditekan hanya atas sebab mempertahankan aqidah dan iman yang dianuti.
“Sesungguhnya semua umat Islam itu bersaudara,” katanya.
Sementara itu Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata tindakan melampau menghina junjungan besar Rasulullah SAW adalah satu perbuatan yang biadap.
Menurutnya, ia mampu mencetuskan perseteruan antara agama sama ada di India atau mana-mana tempat di seluruh dunia yang mampu mencetuskan pergolakan yang berpanjangan.
“Majoriti umat Islam di Timur Tengah mengecam keras tindakan ini malah Mufti Oman Sheikh Ahmad bin Hamad Al Khalili menggangap ia seumpama “melancarkan perang ke atas seluruh umat Islam“ dan telah menggesa umat Islam agar memboikot barangan keluaran India.
“Sewajarnya perbuatan biadap ini perlu dicegah daripada dibiarkan memandangkan nasib umat Islam di India umpama “telur di hujung tanduk“ akibat kerapkali dizalimi secara berterusan di India akibat daripada polisi berat sebelah yang dikenakan terhadap mereka.
“Islam adalah agama kedamaian dan agama yang cintakan keamanan namun jangan hina pemimpin kami dan agama kami,” katanya. – Malaysiapost