Tidak wajar letak kesalahan pada PM – Khaled Nordin

Tidak wajar letak kesalahan pada PM – Khaled Nordin

NEGARA berhadapan dengan pelbagai cabaran kebelakangan ini dan penafian bukan lagi pilihan kepada kerajaan, tegas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, Barisan Nasional (BN) sebagai sebahagian dari kerajaan tidak akan lari dari tanggungjawab atas semua itu, namun adalah tidak wajar meletakkan segala kesalahan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sahaja.

“Menteri-menteri terbabit wajar tampil dan menunjukkan kepimpinan. Namun dimana semua Menteri di kala Perdana Menteri berhadapan dengan pelbagai asakan kerana keculasan mereka dalam tanggungjawab.

“Krisis makanan bukan isu baru serta semakin meruncing semasa pandemik. Masakan Menteri dan Kementerian berkaitan tidak boleh merancang ke hadapan bagi mengelakkan segala masalah ini.

“Ayam, ikan, daging, sayur-sayuran dan minyak masak menjadi mahal tetapi yang lebih membimbangkan ialah bekalan makanan tidak mencukupi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, Malaysia negara membangun paling berjaya, tetapi rakyat Malaysia dalam kurun ke-21 kekurangan makanan apalagi sumber protein.

“Ingin memperbaharui pasport mengambil masa berminggu. Di Tambak Johor, ratusan ribu terpaksa beratur berjam-jam lamanya kerana kesesakan di CIQ Malaysia.

“Sedangkan semua mempunyai masa hampir dua tahun untuk menambahbaik sistem bagi kelancaran perkhidmatan sewaktu pandemik,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan mengenai gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) hingga menyukarkan ratusan ribu pekerja yang harus ke pejabat setiap hari, selain kesesakan di Kuala Lumpur dan lebuh raya yang semakin menggila.

“Semuanya hanya memaparkan satu gambaran. Bahawa perkhidmatan awam di Malaysia berhadapan krisis keyakinan dan kecekapan.

“Kepada Menteri Kewangan, keutamaan negara ialah mengatasi krisis ekonomi. Keutamaan menteri nampaknya Kuala Selangor,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, perbendaharaan negara tidak perlu menjadikan kawasan mana sekalipun ‘anak angkat’ kerana ia adalah dasar ‘sasau’ dan mengelirukan.

“Kepada kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam, menguatkuasakan peraturan disiplin untuk memastikan bahasa Melayu diutamakan sepenuhnya bukan keutamaan sama sekali.

“Meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam adalah apa yang negara ini perlukan pada waktu ini,” katanya. – Malaysiapost

Komen