YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap dan kunjungan hormat Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal Farhan Al Saud di Istana Negara, hari ini.
Istana Negara menerusi hantaran di Facebook, memaklumkan sesi menghadap tersebut yang berlangsung selama 30 minit, menyentuh berkenaan hubungan dua hala dan persahabatan di antara Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi sejak tahun 1957, serta usaha-usaha pengukuhan perdagangan dan ekonomi antara kedua-dua negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan rasa suka cita terhadap hubungan akar umbi Malaysia dan Arab Saudi yang juga telah terjalin secara istimewa di dalam pelbagai aspek, termasuk sumbangan dan bantuan yang telah dihulurkan kepada Malaysia dalam memerangi penularan wabak Covid-19 serta pemulihan pasca pandemik,” kata hantaran itu.
Turut berangkat ke sesi menghadap ini, Pemangku Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Menteri Luar Negeri Datuk Seri Saifuddin Abdullah, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Datuk Dr Mahmoud Hussein Saeed Qattan dan Pegawai Yang Menjalankan Tugas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Amran Mohamed Zin.
Dalam pada itu, kedua-dua pemimpin turut menyentuh berkenaan langkah-langkah untuk meningkat dan memperkembangkan lagi kerjasama serta pelaburan di dalam pelbagai bidang.
Menurut kenyataan Istana Negara, kedua-dua pemimpin juga bertukar-tukar pandangan berkenaan isu serantau dan antarabangsa berkepentingan kepada kedua-dua negara.
“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Arab Saudi dengan jumlah kuota pasca pandemik Covid-19 yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia dan juga harapan agar jemaah haji Malaysia dapat menjalankan ibadah dan urusan haji mereka dengan lancar.
“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa sukacita Arab Saudi merupakan antara negara pasaran terbesar eksport minyak kelapa sawit bagi Malaysia dan terdapat peningkatan permintaan terhadap komoditi tersebut. Pada tahun 2021, jumlah eksport minyak kelapa sawit Malaysia ke Arab Saudi bernilai RM1.763 bilion (USD 0.5 billion)
“Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Yang Mulia Putera Faisal atas jemputan kepada Baginda untuk mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi,” katanya.
Sementara itu, Baginda mendoakan agar Raja Salman Abdulaziz Al Saud, merupakan Penjaga Dua Masjid Suci, dikurniakan keafiatan yang berpanjangan dan Arab Saudi dilimpahi keamanan, kesejahteraan serta kemakmuran berterusan.
Pada tahun 2021, Arab Saudi merupakan rakan dagang kedua terbesar selepas Emiriah Arab Bersatu dan pasaran eksport ketiga terbesar serta sumber import terbesar bagi Malaysia di antara negara-negara Asia Barat.
Pada 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan Arab Saudi bernilai RM17.56 bilion (USD4.23 bilion). – Malaysiapost