‘BN jangan gundah, lesu hadapi PRU15’ – Zahid

PENGERUSI Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli parti supaya tidak gundah-gulana dan lesu terhadap keyakinan dan kesetiaan kepada parti menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau berkata, kesetiaan kepada BN antara lain bermaksud sentiasalah mengutamakan gabungan politik itu tanpa rasa gentar dan gusar dalam apa sekali pun keadaan.

“Perjuangan BN adalah rakyat dan negara, maka tiada apa yang perlu dikhuatiri untuk sebuah kebangkitan BN yang luhur dan murni. Kita maju dan kita mara bersama penuh bijaksana dan pengetahuan

“Dengan demikian janganlah ada gundah-gulana, duka dan lesu terhadap keyakinan dan kesetiaan itu tatkala perajurit BN sedang menuju PRU15 dengan semangat dan keazaman penuh membara,” katanya menerusi Facebook.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata, beliau bertegas mempertahankan BN walau ditekan dan diugut selepas PRU14, disebabkan nilai kesetiaan yang tidak berbelah bahagi terhadap parti.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, kesetiaan kepada BN bukan bersifat membuta tuli atau takut kepada sesiapa, tetapi kerana keyakinan tinggi terhadap asas yang komprehensif dan mencakupi kepentingan rakyat serta negara.

“Juga atas kepercayaan dan ketetapan hati inilah satu-satunya gabungan politik yang mencapai maksud pembentukan sebuah kerajaan rakyat oleh rakyat untuk rakyat.

“Keyakinan bertambah teguh tatkala menyaksikan kegagalan demi kegagalan gabungan politik lain mentadbir dan menguruskan negara selepas diberi peluang oleh mereka yang ‘bereksperimen’,” katanya.

Beliau berkata, BN adalah asas kepada kemakmuran dan kestabilan kerana mengekalkan satu bangsa Malaysia yang hormoni dan bersatu-padu serta berusaha mencapai pembangunan jasmani dan rohani.

“Mengekalkan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan tenteram di mana-mana jua di dalam Persekutuan.

“Menegak dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukun Negara, berusaha untuk mewujudkan suatu masyarakat adil dan saksama. Begitu juga mengeratkan lagi perhubungan dalam kalangan ahli,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights