KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) telah bersiap siaga termasuk menyediakan pelan strategik bagi menghadapi risiko kemasukan cacar monyet ke Malaysia.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata antara persediaan yang diambil termasuk menyediakan tatacara pengesanan dan notifikasi kes, pengambilan sampel, siasatan, pengurusan kes, kontak rapat serta pemantauan di pintu masuk antarabangsa.
“Bermula 27 Mei lalu, KKM juga telah menambah amaran kesihatan cacar monyet di dalam aplikasi MySejahtera,” katanya menerusi video terbaharu di aplikasi TikTok.
Beliau berkata, selepas pengembara mengisi borang prapelepasan dalam aplikasi MySejahtera, pengembara yang tiba dari negara endemik atau negara yang sudah melaporkan kes cacar monyet akan menerima amaran tersebut sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri jika terdapat sebarang simptom.
“Bagi yang sedang melancong ke luar negara, terutamanya negara yang mempunyai kes cacar monyet, sentiasalah berwaspada.
“Sila berhati-hati. Elakkan aktiviti yang boleh menyebabkan jangkitan cacar monyet dan jika bergejala, segera dapatkan rawatan,” katanya.
Jumaat lalu, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat memaklumkan terdapat lebih daripada 700 kes cacar monyet dilaporkan di seluruh dunia.
Cacar monyet adalah penyakit yang jarang berlaku dan tidak seteruk cacar kecil dengan menyebabkan ruam, demam, menggigil dan lenguh.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan seorang individu yang disahkan dijangkiti cacar monyet melalui kawasan transit di Lapangan Terbang Changi pada 2 Jun lalu dalam perjalanannya ke Australia.
Individu itu, yang berangkat dari Barcelona pada 1 Jun lalu untuk ke Australia, diuji positif bagi cacar monyet selepas tiba di Sydney keesokannya.
Berita Harian Singapura melaporkan, kementerian itu dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Kementerian Kesihatan New South Wales, Australia, pada Sabtu lalu. – Malaysiapost