‘Dia yang pukul saya, dia pula yang menangis’ – Sanusi bidas Isham
MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membidas Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berhubung siasatan polis berkenaan dokumen PasLeak.
Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu, sekali lagi menegaskan pihak berkenaan menggunakan PasLeak yang disifatkan sebagai ‘dokumen sampah’ untuk memfitnah parti itu.
“Dia guna dokumen sampah nak fitnah PAS, bila orang kepak balik kat dia, dia pulak melompat ghiau (buat bising) merata-rata kata orang fitnah dia.
“Pepatah Arab berbunyi: ‘Dia yang memukul saya, dia pula yang menangis. Dia yang menzalimi saya, dia pula yang mengadu.’
“Pepatah Kedah belah hulu (pedalaman) ada berkata: ‘Kalau manja sangat jangan la sampai bedeney (berlinang air mata), sat orang boh penampar boleh habuan’,” katanya menerusi Facebook.
Walaupun tidak menamakan mana-mana individu secara jelas dalam hantaran berkenaan namun ia dipercayai ditujukan kepada Isham.
Semalam, Isham menerusi Facebook berkata, polis akan memanggil Muhammad Sanusi untuk siasatan berkenaan kes jenayah fitnah berkaitan dokumen PasLeak.
Isham berkata, siasatan itu dibuat selepas laporan polis yang dibuat April lalu susulan keengganan Muhammad Sanusi memohon maaf dan menarik balik tuduhan ke atasnya.
Katanya, mengikut pertuduhan, jika disabit kesalahan, Muhammad Sanusi boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun di bawah Seksyen 499 Akta 574 Kanun Keseksaan.
Pada April lalu, Isham membuat laporan polis terhadap Muhammad Sanusi selepas menuduhnya menulis dokumen PasLeak yang didakwa adalah kandungan minit mesyuarat perbincangan atau berkomplot untuk menjatuhkan serta menyumbat pemimpin Umno ke dalam penjara.
Muhammad Sanusi dilaporkan berkata, dokumen ‘PasLeak’ dipercayai dibuat pasukan laskar siber pihak tertentu yang bakal mendapat kepentingan apabila maklumat berkaitan dakwaan perancangan menjatuhkan kepimpinan Umno disebarkan secara terbuka. – Malaysiapost