MAJLIS Hukama’ Muslimin cawangan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina oleh pegawai parti pemerintah India mengenai Nabi Muhammad SAW.
Penasihatnya, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata tindakan dua pegawai parti pemerintah di India itu mengganggu sensitiviti umat Islam di seluruh dunia.
“Mewakili Majlis Hukama’ Muslimin cawangan Malaysia, saya mengutuk sekeras-kerasnya ucapan biadab oleh jurucakap rasmi Parti Bharatiya Janata, berkenaan Rasulullah SAW.
“Apa yang telah berlaku baru-baru ini amat mengganggu sensitiviti umat Islam di seluruh dunia. Tindakan beliau adalah seruan yang jelas kepada ekstremisme dan menyebarkan Islamofobia,” katanya dalam kenyataan.
Zulkifli juga merupakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) berkata, sesungguhnya Nabi Muhammad SAW merupakan insan yang paling mulia dan terpilih oleh Allah.
Tegas beliau, mencintai Rasulullah SAW adalah termasuk dalam keimanan dan kemanisan iman.
Justeru, ujarnya, wajib bagi umat Islam mempertahankan Nabi Muhammad SAW dan memuliakan-Nya.
“Saya menyeru umat Islam untuk bersatu hati dalam menzahirkan mesei bantahan secara aman, akan tindakan tersebut,” katanya.
Terdahulu, Kementerian Luar (Wisma Putra) dalam kenyataan memaklumkan Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh dua ahli politik India.
Kenyataan itu berkata, kementerian sudah memanggil Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia petang ini dan menyampaikan penyangkalan sepenuhnya terhadap kenyataan itu.
Malaysia turut menyeru India untuk bekerjasama dalam menamatkan Islamofobia dan menghentikan sebarang tindakan provokasi demi keamanan dan kestabilan sejagat.
Sebelum ini, Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) Ahad lalu menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial. – Malaysiapost