Ikon usahawan dikritik beri tips ‘tidak perlu belanja staff makan’

Ikon usahawan dikritik beri tips ‘tidak perlu belanja staff makan’

TIPS perniagaan daripada ikon usahawan, Ainon Mohd yang tular baru-baru ini, mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen termasuk influencer media sosial.

Perkongsian tips – ‘tidak perlu belanja pekerja makan’ – yang dimuatnaik Ainon menerusi Facebooknya, mencetuskan pertikaian dengan rata-rata tidak bersetuju dengan konsep diketengahkan pengasas syarikat PTS Media Group Sdn Bhd itu.

Beliau menekankan bahawa majikan tidak perlu mengeluarkan belanja ‘makan-makan’ untuk pekerja kerana mereka telah dibayar gaji dan lain-lain bayaran yang menjadi hak mereka.

“Dalam syarikat kecil, majikan selalu membelanja pekerjanya makan-makan apabila mereka sudah menjalankan kerja dengan baik.

“Sebagai majikan, kita tidak perlu membelanja staff makan-makan. Kita sudah bayar gaji dan lain-lain bayaran yang menjadi hak mereka. Simpan duit belanja staff makan-makan itu. Kita bukannya kedekut. Kita menguruskan duit bisnes dengan cara yang lebih bijak.

“Kita berikan duit makan-makan itu sebagai duit bonus hujung tahun mereka. Sementara menunggu bonus hujung tahun, duit itu boleh dipusing-pusingkan sebagai modal bisnes. Pekerja dapat duit bonus, kita dapat duit modal,” tulisnya dalam hantaran itu.

Sehubungan itu, rata-rata netizen tidak bersetuju dengan tips yang diberikan Ainon itu, yang disifatkan mementingkan diri.

Dr Yazeed Hair Johari berkata:”Saya dapati rezeki semakin bertambah lepas belanja staff makan.

“Staff saya yang tak pernah merasa makan kat hotel pun datang berterima kasih kerana diberi peluang untuk merasai makan di tempat yang mewah. Produktiviti makin bagus.

“Lagipun, resit belanja staff makan boleh digunakan untuk ‘claim tax’ pada company. Hujung tahun tetap dapat bonus dan duit raya sebab selalu mencapai target. Apa yang kita makan tu tak jadi apa , tapi apa yang kita selalu sedekah itu lah makanan kita .

“Kalau ikut matematik memang tambah tolaknya tak boleh menipu , Tapi rezeki ni subjektif . kadang-kadang ianya tak datang dengan wang ringgit , Tapi rezeki tu datang dengan staff yang baik dan jujur,” katanya.

Azila Mohd Kasim berkata:”Maaf puan, tips ni tidak sesuai untuk Muslim. Kita peniaga Islam jangan terlalu kebendaan dan keduniaan.

“Dalam berniaga, kita juga mahukan pahala dan keberkatan rezeki. Sesekali makan bersama-sama staf akan mengeratkan silaturrahim.

“Sedekah makanan adalah sebaik-baik sedekah terutama dengan orang yang hari-hari di samping kita. Duit gaji, elaun dan bonus tu lain,” katanya. – Malaysiapost

Komen