Khidmat Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

Khidmat Isham sebagai Ketua Penerangan BN Selangor ditamatkan

BARISAN Nasional (BN) Selangor memutuskan untuk menamatkan jawatan Isham Jalil sebagai Ketua Penerangan BN negeri itu berkuatkuasa serta merta.

Perkara itu disahkan Isham menerusi hantaran Facebooknya, yang memaklumkan keputusan itu dibuat kerana jawatan berkenaan tidak termaktub di dalam Perlembagaan BN.

“Saya telah dimaklumkan hari ini bahawa perkhidmatan saya sebagai Ketua Penerangan BN Negeri Selangor telah ditamatkan berkuatkuasa serta merta.

“Berdasarkan surat daripada BN Selangor, ini adalah kerana jawatan Ketua Penerangan BN negeri tidak termaktub di dalam Perlembagaan Barisan Nasional,” katanya menerusi Facebook.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dan berjuang bersamanya sepanjang berkhidmat sebagai Ketua Penerangan BN Selangor.

“Perjuangan kita belum selesai, oleh itu saya mohon agar tuan-tuan dan puan-puan meneruskan perjuangan dan usaha ini walaupun saya tidak lagi berada di kepimpinan BN negeri.

“Saya akan bantu sebaik mungkin dengan apa yang termampu walaupun tanpa apa-apa jawatan, dan berjuang sebagai ahli biasa seperti sebelum ini.

“Semoga Allah SWT memberkati perjuangan kita. Sekiranya kita ikhlas, istiqamah dan sabar, Allah SWT akan bantu dan berikan kita kejayaan demi masa depan negara dan anak cucu kita semua, InshaAllah,” katanya.

Dalam hantaran sama, Isham turut memuatnaik surat dikeluarkan BN Selangor yang ditandatangani Setiausaha BN negeri, Datuk Dr Mohamad Satim Diman bertarikh 3 Jun lalu.

Dalam surat itu, BN Selangor memaklumkan, keputusan tersebut dibuat melalui perbincangan bersama Pengerusi BN dengan merujuk kepada Fasal 23 Perlembagaan BN di mana tidak termaktub dan tertera di dalam perlembagaan bagi Pengerusi Jawatankuasa BN Negeri untuk melantik Ketua Penerangan.

Menerusi surat berkenaan, BN Selangor merakam ucapan terima kasih atas perkhidmatan dan sumbangan Isham kepada parti itu di Selangor. – Malaysiapost

Komen