Kurang sebulan bercerai, Azri Iskandar bakal bernikah dengan pemuzik

BEKAS suami kepada pelakon, Ellie Suriaty, Azri Iskandar mengesahkan bakal mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan seorang penulis skrip dan lirik.

Azri berkata, dia dan keluarganya bercadang untuk menghantar rombongan merisik dan meminang wanita yang didakwa memiliki ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang muzik, Dr Azra Diera Abdul Hamid sebelum 23 Jun ini.

“Jika tiada aral melintang, kami akan bernikah. Majlis perkahwinan akan diadakan dalam waktu terdekat selepas pernikahan,” katanya seperti dilapor portal BOOM!

Ditanya mengenai status Ara, Azri menjawab wanita berusia 43 tahun itu belum pernah mendirikan rumah tangga.

Azri berkata, majlis persandingan terpaksa ditangguh buat sementara waktu kerana dia terpaksa memenuhi jadual kerja yang padat ketika ini.

“Sekarang saya masih lagi menjalani penggambaran drama ‘Kau Tak Punyai Hati’ arahan Azmi Hatta terbitan TV3 sampai 2 Ogos depan.

“Masa yang ada agak terhad untuk saya uruskan segala persiapan. Namun, doakan yang baik-baik untuk kami berdua. Saya akan umumkan tarikhnya nanti,” katanya.

Azri sebelum ini pernah berkahwin dengan Ellie, namun pasangan itu bercerai pada 17 Mei lalu selepas 19 tahun mereka mendirikan rumah tangga.

Hasil perkongsian hidup, Azri dan Ellie dikurniakan dua anak, iaitu Azrell Omar, 18 dan Nur Azreen, 13. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights