LIMA ’23 merancakkan kembali sektor maritim, aeroangkasa – Ka Siong

LIMA ’23 merancakkan kembali sektor maritim, aeroangkasa – Ka Siong

PENGANJURAN Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2023 (LIMA ’23) akan merancakkan kembali sebahagian sektor komersial maritim serta aeroangkasa yang terkesan akibat pandemik Covid-19, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata, sebagaimana kenyataan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, LIMA ’23 kali ini diperluaskan bersama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan libaturus bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurutnya, penganjuran LIMA ’23 bakal berlangsung pada 23 Mei hingga 27 Mei tahun depan di Langkawi melibatkan 600 pempamer dengan penglibatan lebih 20 negara seluruh dunia.

“MOT amat berbesar hati dan teruja dengan pengumuman penganjuran acara LIMA’23 serta komited dalam mempromosikan segmen komersial maritim dan aeroangkasa yang merangkumi 40 peratus daripada pengisian LIMA’23.

“Penganjuran LIMA’23 adalah platform terbaik untuk merancakkan kembali sebahagian sektor komersial maritim serta aeroangkasa yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dengan kerjasama bersama kementerian dan agensi serta semua pemegang taruh yang berkaitan,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Ka Siong berkata, berdasarkan kepada perkembangan dan trend semasa, negara telah memperlihatkan peningkatan dalam industri dron dengan sekurang-kurangnya 200 syarikat dron telah dikenalpasti beroperasi di Malaysia.

” Terdapat syarikat tempatan ini yang menjadi peneraju dalam industri dron dan syarikat ini boleh mengambil platform ini untuk mengembangkan lagi potensi perniagaan masing-masing

“MOT juga akan bekerjasama dengan Kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kementerian Komunikasi & Multimedia bagi mendapatkan penyertaan syarikat dron komersial membabitkan pelbagai sektor seperti pertanian, logistik, media kreatif dan rekreasi, pemuliharaan alam sekitar, perancangan harta tanah, pembinaan serta tenaga,” katanya.

Tambahnya, sebagai negara berstatus Negara Maritim, Malaysia perlu mengambil peluang dalam industri pembinaan dan pembaikan kapal di Malaysia yang keseluruhannya bernilai lebih dari RM 15.3 billion.

“Sektor ini terdiri dari sektor oil and gas, perikanan, kapal persiaran, pelabuhan serta sektor sokongan yang lain. Berdasarkan statistik daripada pihak Jabatan Laut, hampir 100,000 kapal melalui Selat Melaka tahun lalu menjadikan antara laluan tersibuk dunia yang mengendalikan kira-kira 25 peratus barangan dagangan global,” katanya.

Sehubungan itu, MOT berharap serta mengalu-alukan penyertaan semua pemegang taruh daripada sektor komersial maritim dan aeroangkasa tempatan untuk mengambil peluang menyertai pameran bertaraf dunia ini.

“Ia juga selari dengan Dasar Pengangkutan Negara iaitu memperluas jejak global dan mempromosikan pengantarabangsaan perkhidmatan pengangkutan,” katanya. – Malaysiapost

Komen