DATUK Seri Najib Razak mengakui kadar hutang negara naik satu kali ganda dalam tempoh beliau menjadi Perdana Menteri.
Bagaimanapun, beliau berkata perbandingan semasa beliau dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri tidak setimpal.
“Tetapi ini seumpama nak bandingkan hutang kereta Mercedes orang kaya sebanyak RM300,000 dengan hutang kereta biasa sebanyak RM50,000 orang biasa.
“Lalu dibuat kesimpulan bahawa orang kaya itu sudah bankrap sebab hutangnya adalah enam kali ganda lebih tinggi dengan orang biasa,” katanya dalam hantaran Facebook.
Najib berkata, apa yang penting adalah kemampuan hutang, dan disebabkan itu kerajaan ketika itu menggunakan nisbah hutang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Katanya, selama tempoh sembilan tahun beliau menjadi Perdana Menteri defisit kerajaan turun sembilan tahun berturut-turut.
Jelasnya lagi, ketika itu juga hutang kerajaan naik RM324 bilion ke RM686.8 bilion iaitu berganda daripada RM362 bilion.
“Tetapi saiz ekonomi (KDNK) pula naik RM659.4b dalam tempoh yang sama. Bermaksud saiz ekonomi naik jauh lebih laju berbanding saiz hutang. Sebab itu, nisbah hutang sebenarnya turun masa saya PM (Perdana Menteri).
“Tapi jika dibandingkan dengan tempoh empat tahun selepas PRU14, ceritanya lain pula.
“Jumlah hutang naik RM319b (46.5 peratus) ke RM1.005 trilion manakala saiz ekonomi cuma naik RM224.5b dalam tempoh yang sama.
“Bermakna hutang naik lagi laju banding saiz ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu, Najib berkata nisbah hutang kepada KDNK meningkat dari 50 peratus ke 61.9 peratus pada kahir suku pertama tahun 2022.
Beliau turut membuat perbandingan purata kadar dividen, prestasi Bursa Malaysia, nilai aset bersih Khazanah Nasional serta purata gaji pekerja pembinaan yang dikatakan jauh lebih baik semasa beliau menjadi Perdana Menteri berbanding tempoh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
“Apa yang rakyat mengalami dan rasa dalam kehidupan harian mereka, dividen tahunan simpanan mereka serta pelaburan mereka dalam Bursa Malaysia adalah paling penting – tidak boleh ditipu dengan propaganda sahaja,” katanya.
Najib menjelaskan perkara itu, susulan video lama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika pentadbiran Muhyiddin yang tular, baru-baru ini.
“Dia (Tengku Zafrul) kata hutang naik satu kali ganda dalam tempoh saya PM. Ya, memang betul hutang naik sekali ganda. Jika nak cerita biarlah cerita secara penuh,” katanya. – Malaysiapost