Pemuda Umno gesa tubuh tribunal kehakiman siasat Mohd Nazlan
KETUA Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, meminta kerajaan mewujudkan satu tribunal khas bagi menyiasat sebarang salah laku dan perlanggaran etika kehakiman terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.
Beliau berkata, selain itu tribunal khas yang diwujudkan mengikut Perkara 125 Perlembagaan Persekutuan itu juga bertujuan menyiasat keputusan-keputusan yang telah dibuat Mohd Nazlan terutama berkaitan kes-kes berprofil tinggi.
“Kedudukan Mohd Nazlan sebagai peguam dan setiausaha Maybank pada tahun 2006 sudah tentu memberikan akses besar kepada beliau dalam isu pentadbiran bank berkenaan.
“Termasuklah bagaimana wang RM42 juta iaitu sebahagian daripada RM140 juta yang dipinjamkan oleh Maybank kepada Putra Perdana Development boleh dipindahkan ke akaun Datuk Seri Najib Razak, yang akhirnya menjadi punca dakwaan ke atas beliau,” katanya dalam hantaran Facebook.
Asyraf Wajdi berkata, perkara itu bertentangan dengan fakta kes kononnya RM42 juta itu datang daripada pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) yang diluluskan ketika Najib menjadi Perdana Menteri.
Katanya, Pemuda Umno juga memandang serius berkenaan siasatan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas wang sebanyak RM1 juta di dalam akaun Mohd Nazlan yang telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Bagaimanapun, katanya, masih belum ada sebarang tindakan daripada pejabat Peguam Negara berkenaan kertas siasatan tersebut.
“Sudah menjadi satu amalan etika am kehakiman di seluruh dunia bahawa mana-mana Hakim yang sedang mendengar sesuatu kes, jika mendapati ia sedang berada di dalam keadaan konflik kepentingan dengan kedudukannya samada semasa atau sebelum menjadi seorang hakim, perlu mengecualikan dirinya dalam mendengar apatah lagi memutuskan kes tersebut.
“Lebih parah lagi jika ada sebarang cubaan untuk menyembunyikan fakta penglibatan yang terkait dengan konflik berkepentingan sejak dari awal proses penghakiman dijalankan,” ujarnya.
Beliau berkata, perkara itu boleh menghakis integriti badan kehakiman yang sepatutnya menjadi tunjang kepercayaan mutlak rakyat terhadap benteng utama kedaulatan undang-undang.
“Pemuda Umno bertegas untuk tidak akan mempertahankan mana-mana pihak yang bersalah. Namun, kami percaya bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi ia juga mesti dilihat telah dilaksanakan.
“Tidak wajar sama sekali sebarang bentuk kepincangan dalam proses mendapatkan keadilan dikompromikan,” katanya. – Malaysiapost