AHLI Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mencabar mana-mana pucuk pimpian Umno yang mendesak Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) disegerakan, supaya ‘berani’ menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi mengemukakan hasrat itu sendiri.
Mohamed Nazri berkata, pemimpin-pemimpin Umno berkenaan tidak sewajarnya menekan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengadakan pilihan raya awal.
Mohamed Nazri berkata, keputusan untuk membubarkan Dewan Rakyat terletak pada Agong dan desakan supaya pilihan raya umum segera diadakan adalah tidak wajar kerana ia menyentuh kuasa Baginda.
“Sepanjang pengalaman saya menjadi menteri selama lebih 10 tahun, perdana menteri yang lepas tidak pernah membincangkan tarikh pelaksanaan PRU dalam kabinet. Ini kerana mereka menghormati bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu.
“Namun baru-baru ini, buat pertama kalinya isu ini dibincangkan secara terbuka oleh kepimpinan Umno.
“Pandangan saya mudah, kalau pucuk kepimpinan Umno hendak sangat PRU segera, pergilah menghadap Seri Paduka. Hasil keputusan daripada pertemuan itu kemudiannya maklumkan sahaja kepada Perdana Menteri, kalau mereka beranilah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Selain Mohamed Nazri, pemimpin Umno lain yang tidak bersetuju pilihan raya umum segera diadakan adalah Tan Sri Annuar Musa dan Khairy Jamaluddin.
Terdahulu, ketika Konvensyen BN ke-48, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri menggesa ribuan yang hadir di Dewan Merdeka di PWTC, Kuala Lumpur supaya bangkit menunjukkan sokongan terhadap pilihan raya awal.
Untuk rekod, penggal Parlimen semasa akan tamat pada 16 Julai 2023. – Malaysiapost